Perjalanan 25 tahun penuh warna - Utusan Malaysia

Perjalanan 25 tahun penuh warna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH dua dekad lalu perjalanan penyanyi, Shila Amzah dalam dunia seni suara bermula secara profesional ketika dia meniti usia remaja.

Shila ketika itu mempertaruhkan nama Shila Tekno, dikenali orang industri seni sebagai anak kepada Datuk Amir Amzah Salleh atau ND Lala.

Hari ini, nama Shila Amzah sudah berdiri kukuh sebagai satu jenama yang disegani.

25 tahun perjalanan yang panjang. Shila tidak bertahan hanya kerana statusnya sebagai anak seorang bertaraf legenda.

Tetapi kerja keras, usaha, dan kesabaran selain minat serta kesungguhan yang membawanya ke titik ini.

“Perjalanan saya dalam dunia seni ini, panjang. Saya pernah menjadi artis baharu, menyaksikan dari jauh artis lain dikerumuni peminat mereka.

“Saya merentas beberapa zaman. Kaset, CD dan hari ini, digital. Dan saya juga sempat merasakan keseronokan menerima surat peminat.

“25 tahun itu saya lalui. Alhamdulillah saya masih di sini. Percayalah, usaha tidak khianati hasil. Pesanan saya, kalau ada rasa putus asa, ingatlah, akan ada cahaya di hujung terowong,” katanya pada majlis pelancaran Album SA25 baru-baru ini.

Kata Shila bukan mudah untuk menempa kejayaan kerana tiada jalan pintas yang boleh menjamin kelangsungan karier.

“Saya tempuhi kepayahan itu, dikecam dan dikatakan nyanyian tak ada identiti, orang tak kenal bila nyanyian saya berkumandang di radio.

“Tapi putus asa itu bukan pilihan. Saya terus belajar dan berusaha. Cari identiti sendiri. Berbekalkan minat dan kesungguhan saya masih bertahan. Tanpa semua itu mungkin sudah lama saya tinggalkan dunia nyanyian,” ujarnya.

Shila dalam pada itu tidak menidakkan kesan positif bergelar anak penyanyi. Namun dia juga berlaku jujur mengenai cabaran yang pada masa sama dihadapi sebagai anak ND Lala.

“Saya tak nafikan, ibarat batu loncatan apabila ayah saya juga penyanyi dan pelakon. Tapi harus diingat, pada masa yang sama, saya sebagai anak dibayangi dia.

“Apa pun, percayalah, anak artis atau tidak, setiap penggiat seni mempunyai peluang sama rata. Apa lagi sekarang ini, yang mana platform untuk menyerlah itu semudah di hujung jari sahaja,” kongsinya.

SA25
Shila tahun ini melunaskan satu lagi impian dengan kelahiran album SA25. Katanya, album berkenaan disifatkan sebagai satu anugerah yang muncul pada waktu yang benar-benar tepat.

“Sekian lama saya mengimpikan album ini. Akhirnya ia muncul pada waktu yang tepat, ketika banyak hal yang baik berlaku dalam hidup saya.

“Inilah album yang menceritakan perjalanan karier saya selama 25 tahun. Album ini simbolik kepada kematangan saya sebagai anak seni yang kini bebas menentukan karya dan hala tuju kerjaya saya,” kongsinya.

SA25 memuatkan 11 buah lagu dengan tambahan empat lagu bonus. Menerusi album ini, Shila bekerjasama dengan ramai komposer berbakat besar antaranya Raja Nazrin Shah, Aubrey Suwito dan Amylea.

“Album ini merupakan naskhah saya yang paling jujur kerana saya ceritakan semua tentang perjalanan hidup saya menerusi lirik dan penceritaannya.

“Saya kini lebih yakin untuk berkongsi kisah yang sebelum ini saya simpan dan sembunyikan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN