TASEK GELUGOR : Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyasar untuk membina sehingga 5,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan melebihi RM1 bilion.
Pengerusi Perda, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata, kesemua unit rumah itu akan dibangunkan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) mulai tahun depan di atas tanah berkeluasan lebih 200 hektar yang merangkumi pelbagai jenis kediaman termasuk kategori mampu milik atau rumah rakyat.
“Daripada 5,000 unit kediaman itu pula, kira-kira 10 peratus atau 500 unit rumah akan dijual menerusi kaedah sewa beli atau ‘rent-to-own’ (RTO).
“Kaedah menyewa sebelum membeli seperti ini setidak-tidaknya dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan terutamanya untuk membuat pinjaman perumahan yang tinggi bagi memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Program Kembali Ke Sekolah anjuran Perda dengan kerjasama anak syarikatnya PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVISB) di Kubang Menerong di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerima bantuan baucer tunai bernilai RM150 tiap seorang untuk digunakan bagi membeli pakaian seragam serta peralatan sekolah.
Mengulas lanjut, Shaik Hussein berkata, perincian mengenai projek pembinaan 500 unit rumah berkonsepkan sewa beli itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat dan ia dijangka dilancarkan sebelum pertengahan tahun depan.
“Projek itu akan dibangunkan di atas tanah milik Perda sendiri dan ketika ini, ia telah mendapat kelulusan dan sedang berada pada peringkat akhir perancangan,” katanya.
Dalam pada itu, Shaikh Hussein memberitahu, Perda tidak pernah mengutamakan keuntungan dalam membangunkan projek-projek untuk rakyat termasuk projek perumahan sejak agensi itu ditubuhkan sehingga kini.
“Kita (Perda) tidak ambil untung besar pun. Malah, ada projek yang kita tidak ambil untung langsung. Cuma, apabila kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berada di bawah pentadbiran yang sama, maka, banyak proses kelulusan projek Perda menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini,” ujar beliau.-UTUSAN.










