Penyampai berita Bernama terima pengiktirafan MBOR pertama dalam imunobiologi

Penyampai berita Bernama terima pengiktirafan MBOR pertama dalam imunobiologi

MOGESH SABABATHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembaca berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Dr. Mogesh Sababathy, mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai ‘Penyampai Berita Pertama dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam Biologi Keimunan’ oleh Malaysia Book of Records (MBOR), hari ini.

Penyelidikan PhD itu, memfokuskan kepada keradangan paru-paru dan potensi terapi sel stem, diinspirasikan pengalaman bapanya yang mengalami kerosakan saraf pleksus brachial selepas kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

“Rawatan sel stem ketika itu mahal dan terhad dan ia membakar semangat saya untuk menjadikan terapi ini lebih mudah diakses pesakit. Pencapaian itu membuktikan segala pengorbanan tidak sia-sia,” katanya.

Beliau menerima skrol PhD dan pengiktirafan MBOR secara serentak, satu detik bermakna selepas bertahun-tahun mengimbangi tuntutan penyelidikan sains dan kerjaya penyiaran.

Pengiktirafan itu diumumkan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM), yang menyaksikannya menerima skrol PhD dalam imunobiologi dan memegang status individu pertama menerima sijil MBOR dalam kategori tersebut.

Mengulas mengenai cabaran, Mogesh berkata, mengimbangi kerja makmal dan studio penyiaran bukan mudah dan itu antara cabaran dihadapinya.

“Ada hari saya keluar terus dari makmal ke studio. Memang memenatkan, tetapi membaca berita membantu menenangkan minda. Apabila kita suka apa yang dilakukan, bebannya tidak terasa,” katanya.

Berhubung perancangan masa depan, Mogesh menekankan kepentingan komunikasi sains supaya hasil penyelidikan tidak hanya terhad di makmal, tetapi sampai kepada masyarakat.

“Tiada guna membuat banyak penyelidikan jika tidak memberi manfaat kepada pesakit. Saya mahu terus menyumbang sebagai pakar imunologi, khususnya dalam kajian Sindrom Gangguan Pernafasan Akut (ARDS), sambil mengekalkan minat dalam penyiaran,” katanya.

Kejayaan Dr. Mogesh bukan sahaja mencipta rekod baharu, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang sains dan komunikasi serentak, membuktikan kedua-dua bidang berbeza boleh digabungkan untuk manfaat masyarakat.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dr. Goh Yong Meng, memuji kejayaan Mogesh sebagai bukti universiti melahirkan graduan holistik, menggabungkan kepakaran imunobiologi dan penyiaran, dua bidang jarang digabungkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN