GEORGE TOWN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang individu, Februari lalu.
Tertuduh, Ooi Teik Kuan, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang individu sehingga mendatangkan ketakutan dengan mengeluarkan kata-kata hendak membunuh individu tersebut dan ahli keluarganya kira-kira pukul 9.18 pagi di Chew Jetty pada 7 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani.
Ketika prosiding, Ahmad Danial mencadangkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh, namun Farah Hamizah memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas beberapa alasan termasuk anak guamnya tidak bekerja, menghidap penyakit darah tinggi serta perlu menjaga ibunya yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










