Penganggur didakwa bunuh isteri

Penganggur didakwa bunuh isteri

KHAIRUL Rizuan Abdullah yang didakwa atas pertuduhan membunuh isterinya diiringi oleh beberapa anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, minggu lepas.

Tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah, 28, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak, 44, di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, kira-kira pukul 4 petang pada 8 Disember lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, maka, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Tragedi pembunuhan itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik tidur mereka selama empat hari sebelum tampil menyerah diri di balai polis berhampiran Seberang Jaya, beberapa hari kemudian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, hasil siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan bahawa kejadian tersebut berpunca daripada perasaan cemburu oleh suspek terhadap isterinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN