Penerima Geran Usahawan Perak Sejahtera catat peningkatan pendapatan - Utusan Malaysia

Penerima Geran Usahawan Perak Sejahtera catat peningkatan pendapatan

SALBIAH Mohamed pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 80 peratus penerima Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) mencatat peningkatan pendapatan selepas menerima bantuan.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, data itu melibatkan 505 daripada 713 penerima GeRAK pada tahun 2024 terdiri daripada usahawan informal dan mikro termasuk penjaja dan peniaga kecil.

Katanya, peningkatan itu dicatatkan dalam pelbagai kadar antaranya, 18 penerima merekodkan pendapatan meningkat lebih 100 peratus, 41 orang antara 51 hingga 99 peratus, 146 orang antara 21 hingga 50 peratus dan 300 orang meningkat antara satu hingga 20 peratus.

“GeRAK telah diperkenalkan dan ditambahbaik bermula tahun 2023 sehingga 2025 dengan geram maksimum yang diberikan berjumlah RM2,000.

“Geran ini memfokuskan kepada bantuan berbentuk peralatan, sistem, pemasaran dan peningkatan keupayaan perniagaan kepada usahawan informal, mikro, peniaga dan penjaja kecil dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nadziruddin Mohamed Bandi (Changkat Jong-PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.

Menurut beliau, fokus geran tersebut adalah untuk membantu golongan berkenaan menjadi lebih berdaya tahan serta mengurangkan kos operasi perniagaan.

Malah katanya, ia juga membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos upah, memandangkan kebanyakan peniaga dalam golongan ini kurang berkemampuan untuk mengambil pekerja yang ramai.

“Saya kongsikan beberapa kisah kejayaan penerima geran ini iaitu Hamsiah Mahmoud yang mengusahakan produk makanan di Ipoh apabila pendapatannya meningkat daripada RM5,000 ke RM15,000 sebulan selepas enam bulan menerima bantuan.

“Begitu juga, kisah kejayaan pengusaha kambing perak dari Taiping, Zuriati Mohd. Zabidi yang mencatat peningkatan daripada RM125,000 kepada hampir RM170,000 dalam tempoh enam bulan.

“Selain itu, pengusaha nasi lemak dari Ipoh, Norfarahin Mohd. Isa turut mencatat peningkatan pendapatan sekali ganda daripada RM14,000 kepada RM28,000 selepas mendapat bantuan peralatan seperti peti sejuk, pemanas nasi dan periuk memasak,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN