Pendidikan awal berteras Islam asas kejayaan Keedsflix - Utusan Malaysia

Pendidikan awal berteras Islam asas kejayaan Keedsflix

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNCAK ALAM: Pengasas Keedsflix, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, menegaskan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Al-Quran, teknologi dan pembinaan akhlak sejak usia prasekolah menjadi asas kejayaan Keedsflix sehingga berjaya melahirkan 8,550 pelajar menerusi lebih 300 cawangan di seluruh negara.

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan keperluan masyarakat terhadap sistem pendidikan awal Islamik yang tersusun, konsisten dan selari dengan perkembangan semasa kanak-kanak, khususnya dalam membentuk sahsiah serta asas ilmu sejak usia muda.

Setakat ini, rangkaian Keedsflix disokong oleh 810 tenaga pengajar terlatih dan 300 usahawan pendidikan (Keedspreneur) yang berperanan memperluas akses pendidikan awal Islamik berkualiti ke seluruh negara.

Sheikh Muszaphar berkata, gabungan pendekatan Islamik Quranik dan teknologi pembelajaran moden berjaya melahirkan kanak-kanak yang berani, berketerampilan, kreatif serta beradab, selain mampu menguasai asas pembelajaran dengan lebih yakin.

“Seiring pertumbuhan tersebut, Keedsflix akan melaksanakan Modul Keeds Mandarin sepenuhnya di semua cawangan bermula 1 Januari 2026, bagi memperkenalkan penguasaan bahasa ketiga kepada kanak-kanak prasekolah dalam kerangka nilai Islamik dan budaya tempatan.

“Modul itu akan diajar oleh guru Melayu Keedsflix yang menjalani latihan intensif selama tiga bulan serta lulus penilaian kelayakan, bagi memastikan kualiti pengajaran kekal seragam dan berkesan.

“Selain itu, Keedsflix memperkenalkan Portal Digital e-KQA (Keedsflix Quranic Academy) sebagai sokongan pembelajaran Al-Quran di rumah, dengan pendekatan sistematik dan interaktif yang membantu kanak-kanak menyempurnakan bacaan Al-Quran seawal usia lima dan enam tahun,” ujarnya.

Angkasawan pertama negara itu ditemui di mahlis pelancaran ibu pejabat (HQ) baharu Keedsflix yang turut dihadiri Ketua Pejabat Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan tokoh pembangunan wanita dan pendidikan, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, selain rakan strategik industri.

Dalam pada itu, tambah Sheikh Muszaphar, Keedsflix turut membangunkan Siri Animasi Pendidikan Keedsflix yang menampilkan watak Islamik Aisyah dan Noah sebagai kandungan digital berfaedah, bagi memastikan penggunaan skrin kanak-kanak memberi nilai pendidikan dan pembentukan akhlak.

“Dalam aspek pendidikan khas, Keedsflix menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan SmartSens.Q bagi membangunkan projek perintis pembelajaran Al-Quran untuk kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD) melalui pendekatan multisensori,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN