PUTRAJAYA: Pencarian laut dalam bagi mencari serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 akan disambung semula pada 30 Disember ini.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, operasi pencarian dasar laut itu akan dimulakan semula selama 55 hari yang mana ia dijalankan secara berselang.
“Ocean Infinity telah mengesahkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa operasi pencarian dasar laut akan dimulakan semula selama 55 hari yang akan dijalankan secara berselang.
“Pencarian akan dilaksanakan di kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menemui pesawat tersebut,” katanya hari ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, pencarian pesawat malang itu juga selaras dengan perjanjian perkhidmatan dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025.
“Perkembangan terbaharu ini menegaskan komitmen kerajaan Malaysia dalam memberikan kepastian kepada keluarga yang terkesan oleh tragedi itu,” katanya.
Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Ia salah satu misteri paling membingungkan dalam sejarah penerbangan dan kekal sebagai insiden paling dahsyat yang membabitkan kehilangan pesawat.
April lalu, pencarian pesawat MH370 oleh Ocean Infinity dihentikan dan akan disambung semula pada musim panas di Hemisfera Selatan hujung tahun ini.
Keputusan itu dibuat kerana keadaan cuaca semasa tidak sesuai untuk pencarian pesawat itu. – UTUSAN










