Peluas rawatan kesihatan mental di luar bandar

Peluas rawatan kesihatan mental di luar bandar

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan untuk menyediakan rawatan kesihatan mental kepada semua golongan dengan memastikan kemudahan tersebut tersedia di setiap pusat rawatan kerajaan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkhidmatan itu tidak seharusnya tertumpu di hospital awam semata-mata, sebaliknya boleh diakses di klinik-klinik kesihatan sama ada di bandar, luar bandar atau kawasan yang memerlukan.

“Masyarakat perlu diberitahu tentang apa itu permasalahan yang boleh menyebabkan berlakunya tekanan dalam masyarakat. Banyak faktor yang menjadi punca seperti kesukaran hidup, tekanan kos sara hidup, tekanan di tempat kerja dan pelbagai lagi.

“Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial yang mempengaruhi cara kita berfikir, merasa dan bertindak dalam kehidupan seharian.

“Ia menentukan kemampuan kita menghadapi tekanan hidup, bekerja dengan produktif dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lam Thye berkata, peningkatan masalah kesihatan mental ketika ini perlu diberikan perhatian serius dan menyeluruh oleh semua pihak.

Katanya, sistem kesihatan mental negara juga perlu diperkasakan memandangkan keupayaan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung keperluan masyarakat.

“Pada masa kini, kita masih kekurangan pakar-pakar kesihatan mental untuk berkhidmat di fasiliti kerajaan.

“Kekurangan pakar psikiatri, pegawai psikologi klinikal dan kaunselor bertauliah khususnya di hospital kerajaan dan kawasan luar bandar adalah masalah yang sedang melanda negara kita. Isu tekanan ini memerlukan banyak kaunseling daripada pakar-pakar berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dengan isu kesihatan mental bagi memperluaskan literasi dan kesedaran dalam masyarakat.

Katanya, NGO berperanan sebagai unit yang mendekati masyarakat untuk menyelami permasalahan kesihatan mental yang dihadapi, selain membantu memberi kefahaman mengenai punca tekanan.

“Untuk memastikan segala langkah menyelesaikan masalah kesihatan mental ini dapat dijalankan dengan berkesan, kerajaan perlu memberikan akses keseluruhan kepada setiap agensi bagi sama-sama memberi fokus kepada isu ini.

“Kerjasama daripada setiap pihak adalah langkah yang tepat bagi memastikan isu kesihatan mental dapat diatasi dan tidak membebankan masyarakat pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×