MACHANG: Seorang pelajar tingkatan satu dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras bermain air bersama abang dan rakannya dekat kawasan pintu air Sungai Ulu Sat, Kampung Belukar di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu, abang mangsa yang berusia 15 tahun berjaya berpaut pada batu sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung.
Saksi kejadian Muhamad Azam Faiz Anuar, 19, berkata, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari Pasir Puteh kereta yang dipandunya telah ditahan oleh seorang remaja memaklumkan dua rakannya sudah
dihanyutkan arus deras sungai.
Katanya, dia bertindak menghentikan kereta lalu bergegas ke kawasan itu dan mendapati abang mangsa sedang berpaut pada batu.
“Saya menghubungi rakan dan memintanya membawa tali untuk menyelamatkan abang mangsa sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pihak bomba bagi mendapatkan bantuan lanjut.
“Alhamdulillah, abang mangsa yang berpaut pada batu berjaya ditarik ke tempat selamat menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi/
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohamad Alam Shah Yazid berkata, seramai 11 anggota lain-lain pangkat termasuk pegawai telah ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.33 petang.
Katanya, sejurus tiba dilokasi bomba mendapati seorang remaja lelaki telah hilang manakala abangnya berjaya diselamatkan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. SAR ini akan kembali disambung pada esok,” ujarnya.-UTUSAN










