KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 10 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama bapa saudaranya berlanggar dengan sebuah lori di Jalan Kampung Chenih, Pahi di sini pada pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10.50 pagi, Muhammad Syafiq Rifqi Saidi maut dilokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, sementara bapa saudaranya cedera ringan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustaffa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati lori membawa muatan tanah dalam perjalanan menghala ke Kampung Chenih dari jalan utama Kota Bharu-Gua Musang.
“Motosikal yang dinaiki mangsa pula dalam perjalanan keluar dari arah Kampung Chenih.
“Setiba di lokasi kejadian motosikal itu telah terlanggar bahagian kanan lori yang datang dari arah bertentangan. Pelanggaran menyebabkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd Maizan memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN









