TAIPING: Seorang pegawai penjara di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang tahanan di Penjara Taiping, Januari lalu.
Tertuduh, Ryndee O’nel Victor, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian Gan Chin Eng, 62, dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di Dewan B, Penjara Taiping, Jalan Taming Sari, Taiping antara pukul 3.30 hingga 4 petang, pada 17 Januari 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pasukan pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Muhammad Zaki Abdul Kudos tidak menawarkan jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan, ikat jamin sebanyak RM20,000 dicadangkan dikenakan ke atas tertuduh.
Menurut beliau, seorang daripada dua penjamin perlu beralamat di Perak, selain tertuduh yang berasal dari Keningau, Sabah, dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak dibenarkan mengganggu atau berhubung dengan saksi pendakwaan.
Peguam bela, Mohd. Aidil Arsad bagaimanapun memohon agar ikat jamin dibenarkan terhadap anak guamnya kerana tertuduh perlu bekerja bagi menyara keluarga dengan pendapatan bulanan RM2,000, selain isterinya yang sedang hamil anak sulung.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menggganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Februari depan untuk serahan dokumen.
Jabatan Penjara sebelum ini mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal.
Ia turut memaklumkan insiden berkenaan membabitkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping. – UTUSAN










