Ada cinta yang datang berlarian, ada cinta yang jatuh tanpa amaran dan ada cinta yang menunggu waktunya sendiri untuk tiba. Perlahan dan lembut, tetapi pasti.
Barangkali begitulah yang dapat digambarkan tentang kisah penyatuan dua hati, antara primadona tanah air, Erra Fazira,51, dengan pilihan hatinya, Ezuwan Zain, 44.
Kedua-duanya bukanlah baharu dalam alam rumah tangga. Masing-masing pernah sahaja bergelar suami dan seorang lagi isteri kepada pasangan masing-masing suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, sudah namanya takdir, jodoh dengan pasangan terdahulu cukupnya cuma setakat itu. Malah, buat Erra sendiri, dia pernah dua kali mengharungi bahtera perkahwinan yang tempohnya tidak panjang sebelum ini.
Setelah melalui musim hidup yang mematangkan jiwa, Erra dan Ezwan akhirnya bertemu pada ketika hati sudah belajar apa erti memilih dengan tenang.
Pada 12 Disember 2025, takdir yang lama berbisik itu akhirnya menyapa secara terang. Di hadapan keluarga dan insan yang mereka kasihi, dua hati yang pernah terluka tetapi tidak pernah berhenti berharap itu disatukan sebagai suami isteri.

Bukan untuk memulakan dongeng baharu, tetapi untuk menyempurnakan doa yang sudah lama dibacakan dalam diam.
“Jangan tanya soal pertemuan yang pertama kali. Memang tak ada spark langsung dengan Ezwan ini. Tetapi saya ingat, waktu itu dia menjamu kami dengan kuih daripada kafe Kueh miliknya.
“Saya hanya mengenalinya sebagai pemilik kafe tersebut. Tetapi kira-kira setahun selepas itu, saya mula perasan bahawa dia selalu bertanya khabar melalui pembantu peribadi saya. Jadi saya ambil maklumlah bahawa mungkin dia ada sedikit minat terhadap saya.
“Sampailah satu ketika, saya rasa dia benar-benar bersungguh. Jadi sebelum perkara itu berlarutan tanpa kepastian, saya rasa lebih baik kami bertemu dahulu.
“Di situlah hadirnya spark, kerana perbualan kami matang, tidak mengarah kepada perkara yang bukan-bukan dan langsung tidak menunjukkan ciri lelaki yang sekadar mahu mencuba nasib. Saya rasa selesa dengan kematangan itu,”kata Erra.
Ditanya bagaimana momen ketika pertama kali memberi salam pengenalan kepada anak masing-masing, Erra menjawab, segalanya berlaku dengan baik dan tenang.

“Bila kami memperkenalkan anak kepada pasangan masing-masing, saya tahu itu sudah satu tahap serius. Anak juga faham bahawa hubungan ini bukan sekadar kawan. Sebenarnya saya lebih risaukan reaksi anak, selesa atau tidak.
“Alhamdulillah, Aleesya sangat positif ketika pertama kali bertemu. Kita tahu perangai anak kita, kalau mereka tak suka, kita boleh nampak. Tetapi semuanya baik. Lagipun pasangan saya memang ada pengalaman dengan anak-anak, jadi dia tahu menjaga hati mereka.
“Sebab anak-anak sangat penting bagi kami. Bila mereka setuju menerima, kami sangat bersyukur. Kami doakan mereka juga boleh hidup seperti adik-beradik. Itu juga tanda sama ada hubungan kami akan harmoni.
“Jika mereka tidak okey, itu tentu akan menjadi masalah. Jadi bila ada tanda positif, kami sangat bersyukur dan berdoa semoga berkekalan,”ujarnya.
Selain itu, akui pelakon jelita ini, cinta pada usia begini baginya bukan lagi tentang drama yang memenatkan atau rajuk yang berpanjangan.
Katanya, ia kini memfokus tentang mencari ketenangan, ruang aman yang membuat jiwa merasa pulang.
ERRA BUKAN ‘TROFI’
Sementara itu, meminta ulasan butir bicara daripada Ezwan sebagai suami primadona tanah air ini, lelaki ini mengakui bahawa perkahwinan bukan mainan kerana ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang harus digalas dengan baik.
“Saya menganggap ijab dan kabul ini sebagai amanah dan tanggungjawab seorang suami. Saya sudah sembilan tahun membujang, jadi kehidupan saya sebelum ini selesa. Tetapi kini saya memikul tanggungjawab untuk memastikan Erra, anak saya, Sofia dan anak Erra iaitu Aleesya dapat hidup sebagai sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.
“Ini perjalanan baharu, dan saya mohon semua mendoakan agar ia kekal hingga akhir hayat. Insya-Allah,”katanya.

Selain itu, menyedari bahawa dia juga bukan berkahwin dengan wanita biasa, orang popular pula, Ezwan menepis tanggapan bahawa dia sebenarnya seakan berjaya menggenggam sebuah ‘trofi’ di mana, Erra sebagaimana yang sedia maklum, ramai peminat di kalangan lelaki yang cuba mendekati.
“Saya sebenarnya tak pernah ambil pusing. Saya tidak anggap Erra ini sebagai trophy wife. Dia seorang yang berkerjaya dan mempunyai nama.
“Bagi saya, istilah trophy itu sendiri agak negatif, seolah-olah isteri hanya hiasan tanpa suara.
“Dalam rumah tangga, kami masing-masing harus saling menghormati. Tidak ada istilah trofi atau mengambil kesempatan. Yang penting ialah saling menghargai dan memberi ruang antara satu sama lain,”katanya.
RASA CINTA YANG BERBEZA
Benar, kata Erra, ada yang berkata pertengkaran itu manis, tetapi pada fasa hidup ini, yang dia dan suami dambakan ialah keharmonian.
“Fokus kami sederhana tetapi besar nilainya, membesarkan anak-anak dalam suasana yang damai, hidup dengan persefahaman, dan saling menguatkan. Seperti kata Ezwan, kalau boleh biarlah kita menjadi ‘sedaging’. Bermaksud, sepakat dalam segala hal, seiring dalam setiap langkah.
“Rajuk tetap ada, kerana kita manusia. Namun bukan lagi yang melampau. Kami belajar untuk berkomunikasi dengan lebih matang, berbincang, duduk berdua, dan memperbaiki keadaan perlahan-lahan, hari demi hari.
“Cinta pada usia ini bukan tentang siapa menang atau siapa kalah.Ia tentang menjadi dewasa bersama,”ujarnya sambil tersenyum manis.
Melayangkan pertanyaan mengenai perasaannya selepas diijabkabulkan, Erra tidak menolak bahawa segala perasaan umpama bercampur baur menjadi satu.

“Selepas akad, perasaan saya bercampur-baur. Banyak yang bermain dalam fikiran, iyalah, tanggungjawab sebagai isteri, sebagai ibu, dan sebagai penyatu sebuah keluarga baharu. Saya hanya berharap kami dapat melangkah dalam kasih sayang dan harmoni.
“Walaupun masing-masing sudah lama selesa dengan hidup sendiri, dengan niat yang baik, Insya-Allah kami mampu membina sesuatu yang lebih indah,”katanya.
Sementara itu, jelas Erra, dari sudut kerjaya, dia bersyukur kerana Ezwan sentiasa menjadi tulang belakangnya.
“Sokongan, dorongan dan idea daripadanya membuatkan saya yakin untuk terus berkarya. Dia tidak pernah menghalang perjalanan seni saya, dan kerana kepercayaannya itu, saya lebih memahami batas dan tanggungjawab saya,”ujarnya.
Dalam pada itu, meskipun sering tampil kuat di mata peminat, Erra mengakui bahawa perjalanan membuka hati bukanlah sesuatu yang mudah.

Malah dirinya sendiri pernah bergelut dengan ketakutan yang sama. Justeru, Erra punya pandangan tersendiri tentang perasaan mana-mana ibu tunggal yang mungkin takut untuk kembali berkahwin.
“Buat ibu tunggal yang takut untuk kembali berkahwin, saya amat memahami rasa gentar dan trauma itu. Saya sendiri pernah berkali-kali bertanya pada diri, ‘Adakah aku sudah benar-benar bersedia?’
“Terus terang, luka lama itu masih ada, mungkin 40 peratus belum sembuh. Bahkan sampai saat akhir pun saya masih tertanya-tanya, betulkah ini jalannya? Namun akhirnya saya sedar, semuanya berlaku atas aturan Allah.
“Pegang niat yang baik, berkahwin kerana Allah. Bila niat kita betul, Insya-Allah segala urusan akan jadi mudah,katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai majlis pernikahan yang layak dijulang sebagai wedding of the year, Erra mengakui berasa terharu dengan usaha yang dilakukan oleh Ezwan yang menerajui semua perancangan majlis dari A sehingga Z.
“Tentang gelaran wedding of the year, jika itu yang peminat lihat, Alhamdulillah. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Ezwan yang telah merealisasikan majlis indah ini.
“Walaupun saya pernah melalui alam perkahwinan sebelum ini, tetapi untuk majlis pernikahan kami ini, terus-terang, 95 peratus usaha adalah daripadanya. Saya benar-benar menghargainya,”katanya.










