Nubhan, Dr Fie sah bercerai kali kedua

Nubhan, Dr. Fie sah bercerai kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penyanyi Nubhan Ahamad sah bercerai dengan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie, selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini mengesahkan dua lafaz cerai serta satu lafaz rujuk yang dibuat pasangan berkenaan.

Peguam yang mewakili Nubhan, Mohd. Ridzuan Ramli berkata, lafaz cerai pertama berlaku pada 19 Januari 2017 sebelum pasangan itu kembali rujuk dua hari kemudian, iaitu pada 21 Januari 2017. Lafaz cerai kali kedua pula dibuat pada 26 Ogos lalu.

“Nubhan mengesahkan dua lafaz cerai di luar mahkamah. Mahkamah turut mengesahkan lafaz cerai pertama pada 19 Januari 2017 dan lafaz rujuk pada 21 Januari 2017. Lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos 2025.

“Mahkamah memerintahkan defendan (Dr Fie) menjalani tempoh idah bermula 26 Ogos dan difahamkan tempoh itu kemungkinan telah tamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas prosiding selesai di sini, hari ini.

Sementara itu, peguam Dr Fie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya akan berbincang dengan Nubhan berhubung tuntutan melibatkan harta sepencarian, mutaah dan nafkah anak.

“Kita akan cuba berunding dengan pihak plaintif. Jika terdapat persetujuan, perkara itu akan direkodkan terus kepada mahkamah,” ujarnya.

Terdahulu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Sepang berkaitan insiden pada tahun 2017 dan 26 Ogos lalu.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3.—UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN