DENGAN iringan koir syahdu, harmoni bergaung indah dalam gereja dengan liriknya menceritakan bagaimana air di laut menjadi hujan, kasih sayang dan pengampunan, ketika itulah mereka menyambut Ninavau pulang.
Pengarahnya, Bebbra Mailin, sebenarnya sudah menurunkan petanda sejak awal apa yang ingin dibawakan dalam filem cereka pertamanya sebaik sahaja Ninavau, gadis Kadazan-Dusun mengerling keratan akhbar tentang keluarga yang tidak dapat memeluk anak kerana perbezaan agama.
Ninavau (Jovenea Jim) merupakan anak sulung dalam keluarganya, dua tahun bekerja di Kuala Lumpur menghantar wang setiap bulan agar bapanya dapat mendirikan rumah keluarga (yang masih belum juga siap) di tanah dengan pokok buah tarap di belakang. Kata bapa, pokok itu ditanam ketika Ninavau lahir.
Saya tidak pasti adakah tindakan menanam pokok apabila menyambut kelahiran anak adalah sebahagian daripada adat Kadazan, tapi di kampung kami di Negeri Sembilan, memang ayah akan menanam sesuatu tidak kira pokok apalah itu ketika kelahiran anak. Jadi, saya tebak ia gerak universal, mungkin ia tingkah yang lahir daripada nurani para bapa berharap anaknya tumbuh baik-baik sahaja.
Menghadirkan Ninavau dalam versi filem panjang, yang asalnya diterbitkan menerusi filem pendek; meraih kemenangan di Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2019 adalah lagak berisiko jika tidak kena pada gayanya.

Isu pertukaran agama mudah disalah anggap, dijadikan bahan provokasi, menimbulkan percakaran apabila saling beradu mana lebih benar hingga menciptakan api lebih marak. Jika tidak menimbulkan provokasi sekalipun, selalunya ia membosankan dengan dialog terlalu wacana, keras dan pretentious seolah-olah memantulkan niat tersembunyi pembikinnya.
Pendek kata, hanya tukang cerita yang benar-benar cemerlang sahaja boleh menyeimbangkan ketegangan topik yang tidak berani disentuh banyak orang ini. Namun, Ninavau mengejutkan saya, Bebbra yang turut dibantu Muzammer Rahman sebagai penulis skrip menghadirkan filem ini begitu halus dan redup sekali. Mereka memasang lensa kasih sayang dan entahlah, saya sebenarnya percaya ada kehalusan, titik empati tersendiri boleh diberikan seorang pembikin filem wanita (yang cemerlang) dan Bebbra memiliki potensi itu.
Boleh dikatakan, dalam keluarga Ninavau iaitu adiknnya, Elvira dan bapa, Edward, tidak ada yang jahat. Cuma masing-masing saling berahsia dan suasana itu dapat ditangkap setiap kali mereka berada di meja makan; ada keheningan dan rasa teragak-agak untuk memulakan perbualan.
Mereka faham bahawa dinamik homoestasis keluarga kecil ini perlu dipertahankan daripada diamuk gelombang kerana ada aturan-aturan yang perlu dituruti. Namun, seiring waktu berjalan, rahsia seorang demi seorang tertanggal dan Bebbra mencairkan itu dengan gaya explicit sharing daripada kesemua karakternya.
Namun begitu, apa yang lebih menggoda adalah bagaimana karakter Edward ditampilkan dengan egaliter; dia mahu memandu kereta agar anak rehat di sampingnya, dia masak, dia hidang makanan, dia mengingatkan untuk beribadah hingga tampil mempertahankan Ninavau daripada dipandang sinis keluarga besarnya. Perbezaan kepercayaan tidak mengubah kasih dalam hati Edward dan itu sememangnya menyentuh perasaan.
Komentar sosial, pengenalan budaya
Selain itu, Ninavau juga menunjukkan kepada kita Bebbra sangat faham dan cakna apa yang dilakukan terutama meletakkan komentar sosial tanggapan dan stereotaip masyarakat membezakan semenanjung dan Sabah. Seolah-olah ia berada di negara berbeza. Begitu juga fahaman yang kononnya banyak orang memeluk Islam di semenanjung kerana mahu berkahwin membuatkan ramai yang berat hati melepaskan anak-anak keluar dari negerinya itu.
Pada saya ia cukup penting untuk disindir, menyatakan luka perasaan menjadi asing di negara sendiri agar masyarakat boleh membetulkan faham fikir mereka selama ini. Ninavau begitu Sabah sekali, walaupun tanpa syot Gunung Kinabalu (syukurlah begitu). Bebbra cerdik dan lebih berkelas memasukkan elemen budaya Sabah dan etnik Kadazan seperti yang boleh dilihat menerusi tradisi perkahwinan Miohon Pinisi.
Semasa upacara ini, pasangan pengantin akan bertukar bebola nasi sebagai simbolik untuk menjaga antara satu sama lain. Mereka juga akan memijak batu diiringi doa dan mantera daripada Bobohizan. Selepas majlis berlangsung, selalunya akan dihidangkan minuman tradisi beralkohol sama ada tapai atau baharuan. Tapi Ninavau menghindari itu semua menyebabkan keluarga besarnya tahu bahawa dia telah pun memeluk agama Islam.
Difahamkan untuk menjayakan adegan itu, Bebbra menghadirkan ketua adat atau Bobohizan sebenar dalam filem ini iaitu Adam M. Gonstan yang merupakan seorang pakar dalam ritual perkahwinan masyarakat Kadazan-Dusun. Maka, Ninavau, secara tidak langsung menjadi naskhah yang merakam pengamatan dan cintanya kepada tradisi dan budaya Sabah.
Filem ini, (walaupun saya meragui kualiti persembahan pelakon karakter Ninavau) saya anggap naskhah ‘rebel’ memberikan kita rasa dan pengalaman baru dengan keredupan. Saya tidak pasti ada atau tidak (maaf saya lupa) filem tempatan yang menunjukkan adegan dalam gereja sepanjang durasi di dalam Ninavau. Visual dihadirkan dengan lensa cinta dan kasih tiada unsur siapa lebih benar. Kita selesa menontonnya. Begitu juga kesempatan mengenal tradisi Sabah yang tidak dikeluarkan di layar sebelum ini.

Saya tidak pernah mendengar, mengenali Bebbra atau apa-apa naskhahnya sebelum ini. Namun saya percaya dia boleh dan mampu menawarkan sesuatu yang candu kepada kita dengan segala kehalusannya. Semoga dia tidak kalah dalam sistem yang mungkin membunuh semangat untuk berkarya.
Ninavau ditutup dengan adegan yang paling menyentuh, tidak keterlaluan untuk saya katakan ia adalah adegan penutup paling membekas, indah yang ditonton dalam filem-filem tempatan mutakhir ini. Seperti lirik koir di awal filem, hujan tiba-tiba turun, mereka bertiga berlari-lari masuk ke dalam rumah yang belum siap dan ketawa menikmati buah tarap bersama-sama.
Tidak ada keluarga yang sempurna, sama seperti rumah mereka. Tapi akan selalu ada cukup ruang untuk menampung segala perasaan, hasrat dan cinta untuk saling memberikan teduh, meneguhkan hati menghadapi badai hujan yang mungkin menggila.










