KUALA LUMPUR: Usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd. Nor, 36, berpandangan kadar yuran yang dikenakan terhadap program ilmu yang dianjurkan bersama suaminya, Haris Ismail, 30, sebelum ini, berpatutan.
Malah, bekas pengacara program Meletop itu gembira apabila rata-rata peserta berpuas hati dengan pengalaman yang mereka perolehi menerusi program-program agama berkenaan.
“Peserta tahu apa yang mereka dapat dengan jumlah bayaran yang mereka laburkan untuk majlis ilmu yang saya dan suami anjurkan sebelum ini.
“Bertempat di hotel lima bintang, peserta bukan sahaja menyaksikan perkongsian pengalaman dan ilmu daripada selebriti serta pendakwah jemputan, malah menerima layanan terbaik, dijamu dengan makanan mewah, diberikan beg cenderahati istimewa, serta menikmati kemudahan tempat solat yang selesa.
“Kami mahu peserta rasai pengalaman terbaik sambil memperoleh manfaat dan impak emosi hasil perkongsian ilmu panel jemputan. Kami ingin angkat majlis agama ke aras yang ‘tinggi’.
“Ramai juga yang hadir untuk menyaksikan rakan selebriti jemputan berkongsi pengalaman atas platform agama. Alhamdulillah, setakat ini, tak ada seorang pun peserta yang memaklumkan kepada kami yang mereka tidak berpuas hati dengan yuran dikenakan,” katanya.
Neelofa berkata demikian pada sidang media rancangan Mualim Muda 2025, petang semalam.
Terdahulu, muncul segelintir netizen yang mempersoalkan kewajaran yuran penyertaan majlis ilmu anjuran pasangan selebriti itu yang disifatkan terlalu tinggi.
Dalam pada itu, Haris atau PU Riz bersyukur dengan sambutan menggalakkan terhadap program yang dianjurkan tersebut.
“Kita lazimnya menonton ceramah atau perkongsian ilmu di masjid dan universiti. Majlis yang kami anjur ini persekitarannya berbeza.
“Kami laksanakan majlis ilmu di hotel lima bintang dengan makanan yang memuaskan. Tempat solat yang disediakan selesa dan kemas. Kami juga jemput selebriti untuk berkongsi pengalaman.
“Bagi yang berpandangan kadar bayaran untuk menghadiri majlis kami anjurkan ini mahal, mungkin boleh nilaikan semula dengan apa yang peserta kami terima,” ujarnya. – UTUSAN










