Penyanyi, Aina Abdul, membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah lagu terbaharu menampilkan sentuhan muzik dan gaya nyanyian berbeza dengan kolaborasi bersama Amir Jahari menerusi Ayuh Pulang.
Lagu itu kemudian terus mendapat perhatian malah nama Amir kemudian dikatakan menjadi antara pilihan para pempengaruh popular Malaysia yang mahu mengorak langkah ke dalam industri hiburan. Mari kita tanyakan kepada tuan punya badan terhadap perkembangan kerjayanya sebagai komposer. Jawablah Amir!
Dengarnya sudah mula ramai pempengaruh dan rakan artis letakkan kepercayaan kepada Amir untuk buatkan lagu mereka.
Kita ada servis, nama servis tu ‘Servis Cipta Lagu’, antara salah satu cabang perniagaan di mana saya bertindak sebagai komposer. Tidak memilih, sesiapa sahaja boleh datang asalkan mereka mampu bayar dan mahu terima pandangan. Sebab saya buat semua sendiri, tidak guna AI (kecerdasan buatan). Saya memang menolak penggunaan AI sebagai alat idea generator (penjana idea). Semua lagu yang dihasilkan seratus peratus buatan manusia.
Kira jihad melawan penjanaan idea daripada AI begitu?
Bukanlah jihad mana pun, tempoh hari saya ada buat eksperimen juga guna AI, Suno. Cubalah ubah lagu Hasrat dalam versi genre berbeza macam rock, reggae. Menarik juga dan sangat tepat garapan dalam aplikasi itu. Cuma tiada nilai sentimental daripada aspek perasaan.
Benda ini berbalik kepada perspektif masyarakat juga, kalau mereka menghargai dan meletakkan nilai kepada seni itu, mereka akan faham betapa tingginya harga seni tanpa menggunakan AI. Muzik buatan manusia diletakkan jiwa, di situlah nyawanya.
Tapi hanya daripada segi lagu dan muzik sahajakah? Macam mana dengan reka sampul album atau single?
Kalau yang itu, tidak tahulah, kasihan juga dekat pelukis sebenarnya, begitu juga pereka grafik atau pelukis. Sebab, mereka semua ini ada idea dan boleh hasilkan sesuatu sangat teliti. AI pula gabungkan semuanya, macam mencuri tetapi versi profesional.
Sebenarnya jadi artis ini pun kita ‘tiru’ kerja orang, tapi dalam konteks kita belajar. Sebab apa yang kita hasilkan sebenarnya hasil rujukan daripada hasil kerja orang lain. Itulah yang menjadikan proses itu istimewa.
Amir tidak akan guna AI untuk cover art selepas ini? Lagu Ayuh Pulang itu kira guna AI tak?
Tak tahulah. Tapi lagu Ayuh Pulang macam ada sentuhan manusia juga. Itu bukan pasukan saya yang buat, tidak pasti.
Dengar cerita sekarang ada hobi book binding, itu kira terapi juga?
Memang buat sejak tahun lepas, perancangan hendak buat bisnes. Saya ada masalah kecelaruan mental, jadi setiap kali tarik benang kena dekat kertas, macam hasilkan satu bunyi yang menenangkan. Macam bunyi berdesing tapi lembut. Perkara itu paling memuaskan.
Book binding boleh cecah sampai RM400 untuk satu buku. Buku yang sama di kedai biasa harganya RM30 sahaja.-UTUSAN










