PETALING JAYA: “Kami anggap ini satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati..”
Demikian reaksi Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berhubung perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari ini.
Katanya, segala jasa dan khidmat bakti Presiden Bersatu itu tetap akan diingati terutamanya ketika negara dilanda wabak Covid-19.
“Kami anggap ini (peletakan jawatan) satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati. Segala jasa dan khidmat bakti Tan Sri selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati.
“Menyelamatkan negara daripada wabak Covid dan memulihkannya semula sehingga kita kembali hidup seperti sedia kala hari ini. Itu jasa yang amat besar kepada kita semua. Sejarah itu tidak boleh diubah.
“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, ketegasan dan pandangan disuarakannya sebelum ini berhubung pimpinan Muhyiddin demi kebaikan bersama dalam PN.
“Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan Tan Sri rasa tidak senang atau tersinggung. Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal.
“Segala pandangan yang pernah saya ungkapkan sebelum ini, sedikitpun tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjung saya kepada Tan Sri, lebih-lebih lagi Tan Sri sebagai Abah, orang yang lebih berusia dan berpengalaman dari saya.
“Mewakili seluruh jentera Pemuda PN dan Pemuda PAS, kami ucapkan terima kasih Tan Sri. Jasamu kami kenang sampai akhir hayat,” katanya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya. – UTUSAN










