MINDEF didesak gantung tugas pegawai tentera isu transaksi luar biasa akaun

MINDEF didesak gantung tugas pegawai tentera isu transaksi luar biasa akaun

CHEGUBATD hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) didesak supaya menggantung sementara tugas seorang pegawai kanan tentera yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan transaksi luar biasa dalam akaun bank miliknya.

Desakan itu dibuat Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard selepas menghantar laporan dan dokumen berkaitan kes itu ke SPRM, hari ini.

Chegubard berkata, tindakan penggantungan itu perlu dibuat segera demi mempertahankan integriti MINDEF serta membolehkan siasatan lengkap dilakukan ke atas pegawai kanan tentera itu.

“Sebab kalau dia masih di situ, (siasatan) tak nampak (telus). Jadi apa guna nak tunggu siasatan ni? Ini persoalan kedaulatan negara, nyawa, anggota tentera dan maruah negara,” katanya selepas tampil menyerahkan dokumen berhubung dakwaan berkenaan kepada pihak SPRM, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, meminta supaya Chegubard tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan aliran masuk tunai berskala besar ke dalam akaun individu terbabit.

Mengulas lanjut, Chegubard berkata, beliau mempunyai banyak maklumat mengenai perkara itu, namun fokus ketika ini adalah mendedahkan akaun bank milik pegawai berkenaan.

Jelasnya lagi, dia juga berharap supaya serbuan yang dilakukan semalam bukan untuk membantu memadamkan bukti-bukti berkaitan tender kontrak yang belum pun dilaporkan dan didedahkan.

“Saya berterima kasih atas maklum balas MINDEF terhadap laporan polis yang beliau buat dan menyatakan ruang perlu diberikan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Sekurang-kurangnya respon Kementerian Pertahanan jauh lebih baik daripada sebelum ini yang terus mengatakan saya fitnah tanpa meneliti dan siasat pendedahan saya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan transaksi luar biasa dalam akaun bank milik seorang pegawai kanan tentera negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN