KUALA LUMPUR: Penyanyi dan selebriti usahawan, Mila Jirin, mengakui terharu dan berbangga apabila menerima pengiktirafan Ductus Exemplo Award daripada Oxford Centre for Leadership, United Kingdom, semalam.
Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin,37, berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna buat dirinya memandangkan dia tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading.
Bahkan, kata Mila, ia juga sesuatu yang selama ini dianggap sebagai impian yang tidak kesampaian.
“Saya tak pernah masuk universiti adalah ayat yang sering saya simpan dalam hati. Bukan kerana malu, tetapi kerana ia satu impian yang tidak sempat saya capai.
“Namun hari ini, Allah izinkan saya berdiri menerima pengiktirafan di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Menurut Mila, perjalanan hidupnya lebih banyak dibentuk melalui pengalaman sebenar dalam dunia seni dan keusahawanan, yang disifatkannya sebagai ‘universiti kehidupan’.
“Allah tidak beri saya peluang ke menara gading tetapi Allah beri saya universiti kehidupan. Di situlah saya belajar jatuh tanpa ada siapa yang menyambut, bangun tanpa sijil untuk ditunjukkan, dan terus melangkah walaupun tidak tahu ke mana hujungnya,” ujarnya.
Tambah penyanyi lagu Persis Mutiara ini, kejayaan yang dikecapi hari ini turut mengingatkan bahawa faktor usia, latar belakang dan masa lalu bukan penghalang untuk terus belajar dan bermimpi.
Selain itu, Mila turut berkongsi detik paling menyentuh perasaannya apabila melihat ibu bapanya berada di sisi pentas pada majlis tersebut.
“Melihat mata mereka bersinar dan senyuman penuh bangga itu adalah hadiah paling besar buat saya. Kata-kata mereka tentang impian melihat saya berjubah dan naik ke pentas benar-benar menembusi hati,” katanya.
Dalam pada itu, Mila memaklumkan dia kini sedang merancang beberapa inisiatif baharu bukan untuk menunjuk kejayaan, sebaliknya bagi berkongsi pengalaman dan realiti sebenar perjalanan hidup khususnya kepada mereka yang sedang membina kehidupan dari bawah, berasa tertinggal atau hampir berputus asa.
“Ini bukan pengumuman besar, ini hanyalah permulaan. Saya percaya pengalaman hidup ini perlu dikongsikan agar ia memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Mila Jirin sebelum ini dikenali sebagai juara Akademi Fantasia musim kelima dan kini aktif sebagai usahawan serta figura motivasi, sekali gus menjadikannya antara selebriti contoh yang berjaya membina nama dalam pelbagai bidang. — UTUSAN










