PETALING JAYA: Calon Bebas, Mohd. Ismail Ayob atau dikenali sebagai Miha, masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah.
Miha berkata beliau akan menunggu dan menilai keadaan sebelum membuat keputusan untuk bertanding.
“Belum lagi (buat keputusan bertanding). Banyak lagi masa, tunggu nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, bekas ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu memperoleh undi kedua tertinggi dengan 3,755 undi bagi kerusi DUN Lamag, walaupun hanya bertanding dengan lambang kunci.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, 5 Disember lalu.
Pada PRN yang berlangsung pada 29 November lalu, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan kemenangan tipis 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK pada 24 Januari 2026, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 10 dan 20 Januari ini. – UTUSAN










