‘Mengadu pada Allah sahaja, Dia gerakkan semua benda’ - Utusan Malaysia

‘Mengadu pada Allah sahaja, Dia gerakkan semua benda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EVOLUSI teknologi dan kecanggihan digital selalu menawarkan jalan lain yang disangka dapat memberi penawar kepada keluh kesah dan kegelisahan yang bergolak dalam mental kita. Bagaimanapun, konsep healing yang diguna pakai segelintir individu bukanlah benar-benar memberi kesembuhan sebaliknya hanya sekadar cubaan mengalihkan perhatian buat seketika.

Bila malam makin larut, segala yang dihindar datang kembali menuntut didengari. Pelakon, Amerul Affendi, berpendapat persoalan kesejahteraan mental dalam drama dan filem di Malaysia cenderung menunjukkan perspektif dari pandangan wanita. Jarang cabaran menguruskan pergolakan lelaki diceritakan dengan teliti menerusi naskhah di layar kaca.

Jelas Amerul, kaum lelaki cenderung menyimpan segala perkara yang membantai perasaan secara diam-diam. Perkara ini merupakan pendekatan yang salah setiap kali berhadapan masalah.

“Bila nak cerita tentang kesihatan mental, biasanya dikaitkan dengan cabaran yang dihadapi para wanita sahaja. Mungkin juga sebab lelaki tidak pernah mahu bercakap tentang apa yang dilalui serta trauma mereka.
“Kalau ada masalah, segan mahu bercerita. Kalau betul ada keberanian nak kongsi hanya pada kawan-kawan lelaki terdekat sahaja, jarang sampai dekat masyarakat umum.

“Saya fikir, perlu naskhah hari ini mengetengahkan isu ini dari perspektif lelaki. Sebab jika seorang lelaki tidak mempunyai mental yang stabil, sudah tentu mereka yang berada di bawah jagaannya akan turut terkena tempias sama. Perkara itu sangat penting,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita tentang cara menguruskan kesejahteraan mental, walaupun ada banyak cara yang ditunjukkan di media sosial, Amerul tetap berpegang kepada iman sebagai tali tempat berpaut setiap kali dilanda ujian.

“Bagi kita umat Islam, kekuatan Iman dan dalaman adalah kunci untuk menghadapi masalah dunia. Setidaknya itu apa yang saya percaya. Kalau saya tertekan, saya akan kembali kepada Allah, apa-apa mengadu pada Dia sahaja sebab Allah yang gerakkan semua benda. Dia yang Maha Menentukan, bukan manusia.

“Islam ini bukan hanya tentang apa yang kita belajar di sekolah dahulu sahaja, tetapi juga tasawuf mengenal rohani dan cara kita berfikir.

Dalam perkembangan lain Amerul baru sahaja melunaskan tanggungjawab menggalas karakter Utih menerusi teater muzikal Uda & Dara yang diadaptasi daripada karya agung Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang.

Walaupun lebih banyak dilihat menyandang karakter penting dan naskhah yang penuh emosi hingga digelar pelakon method oleh sesetengah orang. Amerul bersyukur kerana tanggapan itu tidaklah sampai memberi kesan kepada tawaran lakonannya kerana masih juga disuakan dengan karakter lebih ringan.

“Mungkin sebab apabila nama kita sudah kukuh, orang tahu kemampuan kita. Jadi automatik naskhah yang baik akan datang kepada kita.

“Cuma dalam memilih tawaran biasanya saya akan kepada dua aspek, iaitu skripnya serta yang kedua produksi termasuk pengarah dan pasukannya. Ada sahaja watak yang bukanlah method tapi saya bantai cuba sahaja. Saya tidak kisah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN