Mekanik tidak mengaku liwat anak tiri sindrom down - Utusan Malaysia

Mekanik tidak mengaku liwat anak tiri sindrom down

LELAKI (tengah) yang didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak tirinya ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak tirinya yang menghidap sindrom down, minggu lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap anak lelaki tirinya yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Jalan Tasek Indah, Bandar Universiti dalam daerah Perak Tengah pada pukul 7 petang, 2 Disember 2025.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin pada mulanya tidak menawarkan jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan seperti tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan bulanan RM1,800 manakala isterinya yang juga peniaga pakaian terpakai meraih pendapatan RM500 sebulan.

Tertuduh turut memaklumkan bahawa dia menyara dua anak termasuk mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Januari depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN