RAUB: Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) berjaya menyiapkan projek penaiktarafan infrastruktur komuniti di Kampung Jeram Besu di sini dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM1 juta di bawah Program Kampung Angkat Madani (KAM) 2025.
Program diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 itu bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar melalui pendekatan whole of government.
Seramai lebih 83,000 penduduk daripada 43 kampung menerima manfaat langsung daripada peruntukan kerajaan sebanyak RM107 juta bagi pelaksanaan program ini di seluruh negara.
Kampung Jeram Besu dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi MDIO pada tahun ini dengan projek utama melibatkan penaiktarafan Masjid Kampung Jeram Besu serta kerja-kerja membaik pulih Tabika KEMAS kampung berkenaan. Keseluruhan projek disiapkan dalam tempoh 14 minggu bermula 1 September dan selesai sepenuhnya pada 9 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan program itu yang berjaya meningkatkan kemudahan asas masyarakat setempat.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kesejahteraan rakyat, malah memperlihatkan komitmen kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan pembangunan desa terus diberi keutamaan. Saya yakin projek ini akan membawa perubahan positif yang berpanjangan kepada kehidupan penduduk kampung,” katanya pada. Majlis Peluncuran KAM MDIO Tahun 2025 di Masjid Kampung Jeram Besu di sini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Razali Alias menegaskan, pihaknya berbangga dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat melalui projek tersebut.
Menurutnya, peningkatan kemudahan masjid, tabika dan infrastruktur asas adalah selaras dengan mandat kerajaan untuk memastikan rakyat luar bandar menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat dan berdaya maju.
“Kami akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pembangunan nasional melalui pendekatan whole of government selain mempereratkan hubungan antara Tentera dan Awam,” jelasnya.
Beliau berkata, projek itu merupakan yang kedua dilaksanakan oleh MDIO selepas kejayaan projek pertama di Sekolah Angkat Madani, Sekolah Kebangsaan Gembut, Kota Tinggi, Johor yang melibatkan kerja menaik taraf kemudahan serta perluasan ruang kantin untuk keselesaan lebih 300 pelajar, guru dan kakitangan sekolah.
Mohd. Razali turut menegaskan bahawa MDIO komited untuk terus menyokong aspirasi kerajaan memperkukuh infrastruktur komuniti, memastikan kemudahan asas dibangunkan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.-UTUSAN










