KUALA LUMPUR: MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan bersama Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu terutama DAP.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia bergerak solo jika gabungan politik itu terus menyokong dasar kerajaan membebankan rakyat yang dilihat melemahkan kedudukan dan bercanggah dengan pendirian parti.
Katanya, BN dianggotai UMNO, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berisiko untuk ditenggelamkan oleh dasar tidak popular dilaksanakan kerajaan Persekutuan.
“Pendirian MCA amat jelas, tiada DAP. Dalam sebarang keputusan besar mengenai kerjasama politik pada masa depan, jika UMNO terus cenderung kepada kerjasama di luar BN terutamanya DAP sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri.
“Kita akan menilai semula kedudukan strategik kita dan membuat keputusan yang terbaik untuk menjaga kepentingan parti.
“Setiap kali perkara membabitkan asas ideologi dan hala tuju parti atau kelangsungan MCA dalam politik negara, Jawatankuasa Pusat tidak akan teragak-agak membuat keputusan sewajarnya pada masa tepat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Wisma MCA di sini semalam.
Ka Siong juga mempersoalkan bagaimana kepimpinan BN boleh mempertahankan dasar tertentu sedangkan gabungan itu tidak dirunding selain polisi itu tidak selari dengan prinsip BN.
Katanya, bagi penggal semasa, MCA akan meneruskan kerjasama, namun bersedia mencari haluan sendiri jika gabungan itu terus menyokong dasar merugikan atau menjejaskan semangat penubuhannya.
Ka Siong berkata, terdapat beberapa cadangan agar MCA menyertai Perikatan Nasional (PN) namun hasrat itu berkemungkinan tidak berlaku atas sebab percanggahan hala tuju dengan Pas melainkan parti itu membuat pembaharuan.
“Amat jelas masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.
“Sentimen ini semakin mendalam selepas Pas menamatkan memutuskan hubungan dengan DAP 10 tahun lalu, menjadikan pengundi Cina lebih sukar menerima Pas.
“Melainkan Pas membuat pembaharuan menjadi lebih moderat dan diterima masyarakat majmuk. Jika tidak, faktor ini tetap menghindar parti bukan Islam untuk sehaluan dengan PN,” katanya.-UTUSAN










