MBSB bantu PKS nikmati akses percuma Navigator Global selama setahun

MBSB bantu PKS nikmati akses percuma Navigator Global selama setahun

TENGKU Zafrul (dua dari kanan) bersama Rafe Haneef (kiri), Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (dua dari kiri) dan John Carroll (kanan) pada Majlis Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025 yang berlangsung di Menara MATRADE, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB bekerjasama strategik bersama Kumpulan Santander menawarkan peluang eksklusif kepada usahawan tempatan dengan menyediakan akses percuma selama setahun bagi pakej standard Navigator Global bernilai RM1,800.

Tawaran itu sah bagi setiap pembukaan akaun perniagaan MBSB dan bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengeksport produk mereka ke pasaran antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelancaran kerjasama itu tepat pada masanya untuk membimbing PKS Malaysia berkembang dengan panduan yang tersusun, laluan eksport khusus, dan rakan kongsi yang dipercayai.

“Dengan mempermudah keperluan regulatori dan menyediakan maklumat yang boleh digunakan secara langsung, Navigator Global memberi kuasa kepada PKS Malaysia untuk berinovasi, berkembang dan bersaing dengan keyakinan di pasaran global.

“Ini juga merupakan komitmen MBSB dalam memacu dinamik ekonomi serta menyokong aspirasi global perniagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Melalui kerjasama itu, MBSB akan menghubungkan perniagaan Malaysia dengan platform digital Navigator Global yang canggih, menawarkan rangkaian alat menyeluruh yang mempermudah perdagangan antarabangsa dan mempercepat pertumbuhan.

Ini termasuk pelan tindakan masuk pasaran yang disesuaikan, maklumat pasaran global secara masa nyata, rangkaian luas penyedia dan pakar tempatan yang disahkan serta kalendar acara pendidikan dan webinar yang pelbagai.

Ia untuk membantu PKS Malaysia mengatasi halangan tradisional dan bersaing dengan lebih yakin di pasaran global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, kerjasama dengan Navigator Global merupakan pencapaian penting bagi MBSB dan masa depan PKS Malaysia.

“Dalam era yang serba terhubung, perdagangan global menawarkan peluang pertumbuhan yang besar.

“Kerjasama ini selaras dengan keutamaan strategik kami untuk memperkasakan perniagaan dengan keyakinan dan kepakaran bagi meluaskan jejak mereka jauh melebihi sempadan Malaysia.

“Kami melihat Navigator Global sebagai rakan penting bagi PKS, mempermudah proses perdagangan antarabangsa dan menjadikan pasaran global lebih mudah diakses berbanding sebelumnya,” ujarnya.

Program perintis di United Kingdom (UK) menunjukkan impak yang kukuh dengan menyokong lebih 2,500 perniagaan UK dalam pengembangan antarabangsa dan mencetuskan ratusan hubungan global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Navigator Global Ltd, John Carroll berkata,
kerjasama itu merupakan dalam misi mereka untuk mempermudah perdagangan antarabangsa dan mempercepat pertumbuhan PKS.

“Kami adalah kelab keahlian yang membimbing perniagaan yang bercita-cita tinggi melalui perjalanan perdagangan antarabangsa dan menawarkan penyelesaian menyeluruh.

“PKS adalah teras kejayaan Malaysia mereka adalah pencipta, pencetus pekerjaan dan nadi komuniti. Melalui kerjasama ini, kami dapat mengurangkan kos, masa dan risiko yang berkaitan dengan pengembangan global.

“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama seperti ekosistem perdagangan global yang lebih bersepadu, mudah diakses dan berdaya maju, di mana PKS mendapat sokongan yang mereka perlukan,” katanya.

Inisiatif itu selaras dengan agenda MITI untuk meningkatkan daya saing dan pengantarabangsaan industri Malaysia di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030

Kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan PKS kepada jumlah eksport Malaysia kepada 30 peratus menjelang 2030, daripada sekitar 17 peratus hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×