MARA perkukuh R&D bantu usahawan kembangkan produk - Utusan Malaysia

MARA perkukuh R&D bantu usahawan kembangkan produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menjadikan pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai antara fokus utamanya tahun depan bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan perniagaan usahawan Bumiputera.

Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan tersebut penting kerana bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan pemantauan semata-mata tidak mencukupi tanpa asas R&D yang kukuh.

“Usahawan bukan sekadar memasakkan produk, tetapi mesti diperkasakan dari segi penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk,” katanya selepas melancarkan produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda, Batu Caves.

Katanya, pelancaran RTE Aris Burger yang kini telah menembusi pasaran kedai serbaneka 7-Eleven dan stesen minyak antara contoh kejayaan usahawan MARA hasil kerjasama strategik dalam bidang R&D.

Katanya lagi, produk itu dibangunkan menerusi kerjasama penyelidikan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membuktikan kepentingan hubungan rapat antara usahawan dan institusi pendidikan tinggi.

“Inilah inisiatif yang kita rasa amat mustahak, iaitu penghasilan produk disokong R&D melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk sektor pendidikan tinggi,” katanya.

Katanya, MARA baru-baru ini mengadakan mesyuarat peringkat majlis yang memutuskan R&D akan dijadikan teras utama dalam agenda pembangunan usahawan tahun depan.

Jelasnya, fokus tersebut bertujuan membantu lebih ramai usahawan meningkatkan kualiti produk, menambah nilai dan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.

“Asas paling penting untuk melonjakkan potensi produk usahawan ialah R&D yang kuat,” katanya.

Sementara itu, Aris Burger hari ini melancarkan produk RTE sebagai langkah strategik memenuhi permintaan pengguna terhadap makanan halal yang mudah, berkualiti dan diyakini.

Pengasasnya, Haris Embong, berkata pengenalan produk itu adalah respons kepada perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin pantas, khususnya dalam kalangan pengguna bandar dan keluarga bekerja.

Katanya, pasaran RTE di Malaysia mempunyai potensi besar, khususnya bagi produk halal keluaran PKS Bumiputera yang mampu memenuhi piawaian runcit moden.

“Sebagai jenama Bumiputera, kami komited membangunkan produk yang bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah berdaya saing di peringkat global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN