'Mansuh SPLKPM langkah tepat kurangkan beban tugas guru'

‘Mansuh SPLKPM langkah tepat kurangkan beban tugas guru’

MOHAMAD DZIAUDDIN MAT SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) disifatkan sebagai langkah tepat dan signifikan dalam usaha mengurangkan beban tugas guru di sekolah.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pemansuhan itu selari dengan tujuh teras utama yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan penuh kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Menurut beliau, matlamat utama kementerian adalah untuk memberi ruang kepada guru berkarya dan mendidik murid tanpa dibebani urusan dokumentasi serta rekod yang terlalu panjang dan bersifat khusus.

“Alhamdulillah, langkah ini amat tepat kerana SPLKPM pada asasnya lebih tertumpu kepada proses perekodan yang panjang dan apabila ia dimansuhkan, tugasan guru dapat diringankan. Fokus sebenar juga dapat dikembalikan kepada bilik darjah,” katanya pada Majlis Apresiasi Program Transformasi Sekolah Ke Arah Lestari (TASKAL) Sekolah Pulau Pinang, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, SPLKPM yang dibangun untuk memudahkan urusan berkaitan latihan guru dan warga pendidik akan dimansuhkan mulai tahun depan sekali gus memberi ruang kepercayaan sepenuhnya kepada para guru.

Dalam pada itu, Mohamad Dziauddin turut menyifatkan keputusan pemansuhan itu sebagai bukti KPM mendengar suara dan keluhan warga pendidik ketika ini.

“Langkah memansuhkan pengisian tertentu seperti dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) berkaitan amalan baik sebelum ini juga menunjukkan bahawa kementerian sentiasa peka terhadap pandangan guru,” jelasnya.

Tambah beliau, usaha berterusan itu juga akan memberi impak positif terhadap kesejahteraan guru serta kualiti pendidikan negara secara keseluruhan sekali gus membolehkan mereka kembali menumpukan sepenuh tenaga dan kreativiti mereka untuk mendidik anak-anak di bilik darjah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN