Malaysia – Singapura bakal meterai satu perjanjian bersama

Malaysia – Singapura bakal meterai satu perjanjian bersama pada sesi pemukiman esok

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Singapura esok sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.

Menurut Kementerian Luar, sesi pemukiman itu merupakan mekanisme peringkat tertinggi bagi kedua-dua negara dan dianjurkan secara bergilir-gilir oleh Malaysia dan Singapura.

Katanya, ia bertujuan menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Ini termasuk meneroka peluang kerjasama baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Semasa lawatan tersebut, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Perjanjian antara Malaysia dan Singapura, yang mencerminkan skop kerjasama yang semakin meluas antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra memaklumkan, satu Kenyataan Bersama juga akan dikeluarkan selepas Sesi Pemukiman tersebut.

Jelasnya, sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai sektor.

“Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan perdagangan dua hala berjumlah AS$78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober lalu, 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

“Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN