RANTAU PANJANG: Seorang lelaki positif dadah jenis dicekup membawa 10.4 kilogram (kg) bunga ganja selepas ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lubok Stol, di sini semalam.
Tangkapan itu dilakukan pada pukul 11 malam menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sejurus ditahan pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek telah menjumpai bunga ganja seberat 10.4 kg.
Katanya, dadah tersebut ditemukan di dalam beg plastik yang dibawa oleh suspek.
“Nilai rampasan bunga ganja itu dianggarkan berjumlah RM374,000 dan suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah Meth,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










