Lelaki maut, isteri cedera langgar lori ubah haluan - Utusan Malaysia

Lelaki maut, isteri cedera langgar lori ubah haluan

SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi bersama isteri melanggar sebuah lori yang sedang menukar haluan di Jalan Ipoh-Lumut, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka melanggar sebuah lori yang sedang menukar haluan di Jalan Ipoh-Lumut dekat sini.

Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah lori membuat pusingan ke kiri selepas melepasi simpang sebenar ketika lampu isyarat bertukar hijau.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, penunggang motosikal jenis Honda C100, Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Azizah Mat Jamat, 61, pula patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 23 tahun dan motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Gajah menuju ke arah Ipoh.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa tidak sempat mengelak lori berada di hadapan yang bergerak masuk ke lorong kanan untuk masuk ke simpang kiri.

“Penunggang motosikal tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri kenderaan berat tersebut. Kemalangan itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala isterinya cedera.

“Dalam kejadian itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN