KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes memukul 13 remaja dipercayai pelajar tahfiz di Kota Kinabalu pada 14 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.55 malam di sebuah premis perniagaan di bandaraya ini.
Beliau berkata, suspek ditahan berhubung kes sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan penderaan kanak-kanak susulan penularan sebuah video di media sosial, semalam.
“Tindakan penahanan dibuat selepas pihak polis menerima laporan berhubung rakaman video berdurasi empat minit 45 saat yang tular di media sosial.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, kita menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular memaparkan seorang lelaki memukul kira-kira 13 remaja di luar sebuah premis.
Dalam video berkenaan, lelaki terbabit dilihat memukul menggunakan topi keledar selain menampar, menendang dan memijak mangsa, sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. – UTUSAN










