PETALING JAYA: Bursa Malaysia kekal memberangsangkan dengan penyertaan syarikat baharu yang meningkat secara konsisten setiap tahun, sehingga jumlah syarikat tersenarai kini melebihi 1,000 entiti.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pasaran ekuiti tempatan berada dalam keadaan stabil tanpa menunjukkan sebarang kejutan besar yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Katanya, tahap pematuhan korporat yang baik dalam kalangan syarikat tersenarai membantu mengurangkan risiko tindakan nyahsenarai secara besar-besaran, sekali gus mengekalkan integriti pasaran.
“Dalam masa sama, Bursa Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai pasaran yang berorientasikan nilai mampan melalui usaha mempromosikan indeks FTSE4Good dan FTSE4Good Shariah, yang semakin menarik minat pelabur global yang mengutamakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, campur tangan kerajaan tidak diperlukan dalam menstabilkan pasaran berikutan keperluan mengekalkan prinsip pasaran bebas.
“Namun, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif seperti pengecualian cukai ke atas modal bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
“Pasaran kita sudah menunjukkan keupayaan berdikari. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah memperkukuh daya tarikan melalui insentif yang strategik, bukan mengawal selia secara berlebihan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, data CGS International menunjukkan pegangan asing di Bursa Malaysia berada dalam aliran menurun selama lebih daripada satu dekad, dengan aliran keluar asing sehingga RM90.8 bilion dalam tempoh tersebut.
Pegangan asing di pasaran saham tempatan merosot daripada paras tertinggi 25.2 peratus pada Mei 2013 kepada sekitar 19 peratus pada November 2025, selepas jatuh ke rekod terendah 18.7 peratus pada akhir suku ketiga tahun ini.
Sepanjang tahun ini, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dalam ekuiti Malaysia, dengan jumlah setakat ini pada -RM20.3 bilion, aliran keluar terbesar sejak wabak Covid-19 pada 2020 (-RM24.6 bilion).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, trend pengurangan pegangan asing yang berlarutan lebih sedekad kini menjadikan pasaran ekuiti Malaysia semakin didominasi oleh dana-dana pelaburan kerajaan (GLIC).
Katanya, walaupun trend penyusutan pegangan asing menjadi topik perbincangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kecairan bukanlah isu bagi Bursa Malaysia, yang disifatkan masih berada dalam keadaan kukuh dan stabil.
“Saya tidak merasakan risiko kecairan menjadi masalah di Bursa Malaysia. Setakat ini, tiada sebarang laporan negatif mengenai isu kecairan, dan pasaran kita kekal beroperasi dalam keadaan sangat mampan,” katanya.
Beliau berkata, berbanding dengan bursa negara jiran di Asia Tenggara, prestasi Bursa Malaysia sebenarnya antara yang terbaik, khususnya dari segi ketahanan dan kestabilan pergerakan pasaran.
Menurut data terkini, nilai pasaran Bursa Malaysia adalah sekitar AS$453 bilion, tidak jauh berbeza dengan negara ASEAN lain iaitu Indonesia iaitu AS$937 bilion, Thailand, AS$559 billion dan Singapura, AS$785 bilion. – UTUSAN









