Krisya enggan sekadar dikenali sebagai penyanyi lagu Kluang Man - Utusan Malaysia

Krisya enggan sekadar dikenali sebagai penyanyi lagu Kluang Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Krisya, 43, menyifatkan penyertaannya dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) telah membuka mata ramai pihak terhadap kemampuan sebenarnya sebagai penyanyi.

Katanya, kebolehan nyanyiannya lebih terserlah lebih-lebih lagi apabila ditugaskan membawakan pelbagai jenis lagu sebagai cabaran mingguan sepanjang pertandingan tersebut dijalankan.

“Saya gembira masuk GV12, berpeluang tunjukkan tahap kemampuan nyanyian saya. Kalau tidak, orang terus kenal saya sebagai penyanyi lagu Gemersik dan lagu tema Kluang Man.

“Sekurang-kurangnya, dalam GV12, saya berpeluang menunjukkan kebolehan nyanyian saya apabila setiap minggu diberi tugasan membawakan pelbagai jenis lagu.

“Ibaratnya program GV12 ini menjadi platform pengenalan untuk saya kepada masyarakat,” katanya yang ditemui selepas konsert GV12, Ahad lepas.

Krisya dalam masa yang sama mengakui pemyertaan dalam pertandingan tersebut juga menyedarkan diri sendiri terhadap tahap kemampuan nyanyiannya.

“Jika dibandingkan sekarang dengan era kemunculan saya dahulu, berbeza. Ketika itu umur saya masih belasan tahun, jadi warna suara juga berlainan.

“Suara saya sekarang kedengaran lebih matang disebabkan faktor usia dan status sebagai seorang ibu.

“Dan dulu mungkin saya mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, tetapi sekarang sukar kerana perubahan suara.

“Kerana itu saya gembira apabila diterima masuk GV12 kerana membolehkan saya melatih vokal selain menerima bimbingan barisan juri berpengalaman untuk memperbaiki nyanyian saya,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN