IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluaskan pelaksanaan projek Taman Rekreasi Madani (TRM) di seluruh negara dengan memperuntukkan sebanyak RM85.6 juta kepada Jabatan Landskap Negara (JLN).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan bagi tahun hadapan itu selaras dengan hasrat KPKT untuk membina 100 taman berkenaan pada tahun tersebut.
Katanya, setakat ini, sebanyak 216 taman itu telah berjaya dibina di seluruh negara dalam tempoh 24 bulan, termasuk projek terbaharu yang siap di Taman Tanjak, Batu Gajah.
“Dengan usaha gigih JLN, kita bukan sahaja berjaya mencapai sasaran penyediaan 100 Taman Rekreasi Madani, malah kini telah melepasinya dengan membangunkan lebih 100 taman setiap tahun.
“Di Perak sahaja sudah terdapat 34 Taman Rekreasi Madani, menjadikannya antara negeri yang memiliki jumlah kemudahan tersebut paling tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ruang Komuniti (Rukom) ke-100 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang, di sini hari ini.
Menurut beliau, dengan adanya kemudahan awam itu, orang ramai diseru agar menjaga kebersihan serta tidak mensia-siakannya dengan melakukan sebarang kerosakan termasuk perbuatan vandalisme.
Katanya, amat menyedihkan apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan negatif seperti mencuri kerusi dan mencabut lampu.
“Kita memang ada beberapa pengalaman, jadi saya menyeru kepada semua rakyat yang beradap dan berilmu, apabila kerajaan telah menyediakan kemudahan awam, tolonglah jaga kerana ini adalah untuk kebaikan semua.
“(Bagi mengekang kejadian vandalisme), di bawah program Bandar Selamat, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) terus diperkasa supaya kes kecurian di kawasan-kawasan awam ini dapat diminimumkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Rukom, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang itu berkata, kejayaan menyiapkan 100 Rukom di seluruh negara dalam tempoh dua tahun menjadi mercu pencapaian penting KPKT di bawah URBANICE Malaysia.
Katanya, kos pembinaan setiap Rukom sekitar RM20,000 hingga RM30,000 dan keseluruhan 100 Rukom dibangunkan dengan peruntukan kurang RM3 juta.
“Perak mencatatkan 12 Rukom siap, termasuk di Seri Kepayang yang sebelum ini dikategorikan sebagai kawasan tidak terurus.
“Dulu kawasan ini kotor, tidak boleh digunakan malah menjadi lokasi kutipan sampah. Kini ia berubah menjadi ruang berdaya unik, selamat dan selesa untuk komuniti berehat, beriadah dan membaca,” katanya. – UTUSAN










