KUALA LUMPUR: Apa berlaku apabila sekelompok jiwa muda yang sering diabaikan mengimpikan peluang dan pengiktirafan, pada masa sama menyimpan impian besar seperti anak muda lain yang bebas mengejar cita-cita?
Inilah premis menyentuh hati yang diangkat dalam Dignified: The Faisal Cup Story, sebuah karya dokumentari perintis daripada Signal Flare Productions.
Filem dokumentari ini bukan sekadar merekodkan perlawanan bola sepak, malah ia adalah mesej jujur tentang ketabahan manusia dan nilai ihsan yang sering terlupa.
Ia menceritakan kisah sekumpulan anak-anak pelarian yang mengimpikan untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai padang harapan mereka.
Selama ini, naratif mengenai pelarian di Malaysia sering terperangkap dalam bingkai politik dan krisis.
Namun, Dignified membawa penonton ke sisi kehidupan yang berbeza iaitu bagaimana anak-anak muda ini berlatih tanpa jemu, bukan untuk kemasyhuran tetapi untuk pengiktirafan dan maruah diri.
Melalui lensa kamera, penonton dapat menyaksikan disiplin luar biasa yang mereka tunjukkan, melalui latihan yang bukan sekadar fizikal, tetapi juga menguji mental untuk kekal percaya pada sesuatu yang hampir mustahil.
Ia adalah bukti anak-anak pelarian seperti Kurban Ali (etnik Rohingya) dan Ezra Van Lian Ceu (Chin Myammar) hanya memerlukan satu perkara iaitu peluang dan sekiranya ruang itu diberikan, mereka juga mampu menyinar.
Karya sulung Hazel Desmond sebagai pengarah ini terasa begitu dekat kerana ia membawa pengalamannya selama 15 tahun dalam bidang kewartawanan dan diterjemahkan dengan kemas dalam dokumentari ini.
Hazel memilih untuk tidak mensensasikan penderitaan, sebaliknya meraikan keberanian remaja tersebut.
“Filem ini tidak melihat mereka sebagai mangsa. Ia meraikan keberanian mereka untuk bermimpi dan membina semula jati diri melalui sukan,” katanya.
Sentuhan Hazel dalam menggarap emosi yang rapuh ini diimbangi kepakaran Penerbit Eksekutif, Steve Chao, pengkarya yang terkenal dengan naratif kemanusiaan mendalam.
Hasilnya adalah sebuah filem yang matang dan mampu membuat penonton merasai keperitan pengorbanan dan kemanisan persahabatan yang terjalin antara anak-anak muda ini dan jurulatih mereka, Jeremy Chin.
Dokumentari ini mengingatkan penonton di sebalik setiap dasar, terdapat wajah yang merindukan penerimaan dan peluang untuk mengejar cita-cita serta keinginan hidup.
Dignified: The Faisal Cup Story turut menjadi cermin yang tidak memihak, memaparkan aspirasi pelarian dengan empati yang mendalam, pada masa sama mengingatkan tentang sisi masyarakat Malaysia yang paling berharga iaitu nilai ihsan dan kemurahan hati.
Kehadiran tokoh penting seperti aktivis kemanusiaan, Deborah Henry dan sokongan padu Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, memperkukuh kedudukan dokumentari ini sebagai karya yang melangkaui hiburan semata-mata.
Ia adalah seruan untuk kita memahami setiap manusia mempunyai cerita dan impian yang ingin didengari.
Dignified: The Faisal Cup Story mungkin bermula dengan bola sepak, tetapi ia meninggalkan persoalan untuk direnungi bersama apabila disiarkan nanti.
Apakah yang kita lakukan untuk memanusiakan semula manusia?










