IPOH: Kerajaan Perak menyalurkan bantuan RM500 sebulan kepada keluarga bayi lelaki berusia 14 bulan, Firas Affan, yang disahkan menghidap ketumbuhan belakang mata.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed, berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersetuju menyalurkan Bantuan Pesakit Terlantar sebanyak RM500 sebulan kepada Firas Affan bermula Januari depan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Sekretariat Pembangunan Wanita telah diminta mengambil tindakan segera bagi meringankan beban keluarga bayi berkenaan,” katanya ketika melawat bayi tersebut di Bandar Baru Lahat di sini hari ini.
Salbiah berkata, walaupun bapa bayi tersebut, Mohd. Fauzi Saad, 43, masih bekerja namun keadaan kesihatan bayi itu yang memerlukan rawatan rapi dan kerap ke hospital menyebabkan bapa bayi itu perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga, sekali gus menambah beban kewangan.
“Bantuan bulanan ini merupakan sokongan tambahan kerajaan negeri bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga Encik Fauzi,” katanya.
Beliau berkata, keluarga berkenaan telah menerima bantuan di bawah program Perak Sejahtera yang diluluskan sejak Oktober lalu melalui Sekretariat Pembangunan Wanita negeri.
Sementara itu, Salbiah berkata, pihaknya mengalu-alukan peranan komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan maklumat berhubung kes-kes kebajikan untuk kerajaan negeri membantu mereka yang memerlukan.
“Kita berharap maklumat dapat disampaikan lebih awal supaya tindakan segera dapat diambil. Kerajaan negeri akan terus berusaha membantu mereka yang memerlukan di Perak,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fauzi terharu dengan keprihatinan banyak pihak selepas kisah anaknya mendapat liputan media sebelum ini.
“Segala bantuan yang diterima ini saya anggap sebagai rezeki daripada Allah SWT kepada keluarga kami yang sedang diuji dan sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Mohd. Fauzi berkata, selain bantuan daripada kerajaan negeri, beberapa pihak turut menghubungi keluarganya untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu menampung kos ulang alik ke hospital serta keperluan persekolahan anak.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat serta menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas keprihatinan yang diberikan kepada keluarga saya;” katanya. – UTUSAN










