PETALING JAYA: Ibu bapa perlu menambah perbelanjaan untuk menyediakn kelengkapan persekolahan anak untuk tahun hadapan berikutan harga barangan dan keperluan sekolah meningkat antara 20 hingga 33 peratus.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, antara barangan yang mengalami kenaikan adalah seperti beg, kasut, baju beruniform, buku latihan, alat tulis dan keperluan lain seperti pakaian seragam dan kokurikulum mengikut sekolah.
Beg sekolah tanpa jenama yang sebelum ini boleh didapati pada harga RM50 kini dijual RM60, kasut sekolah (tanpa jenama) daripada RM40 kepada RM60 sepasang manakala alat tulis seperti pensil warna meningkat daripada RM20 kepada RM30.
Seorang pengusaha inap desa, Nor Raslah Ninawati Ramli, 50, berkata, harga barangan sekolah meningkat dengan jurang harga yang besar, sekali gus menyukarkan ibu bapa membuat pilihan.
“Dahulu pakaian seragam di koperasi hanya berjumlah RM100 sehingga RM150, namun kini meningkat hampir RM200 menyebabkan ibu bapa perlu mengeluarkan kos lebih.
“Barangan murah tak tahan lama. Kadang-kadang saya terpaksa beli peralatan yang sama berulang kali dalam tempoh setahun.
“Pakaian seragam termasuk baju pendidikan jasmani, rumah sukan dan persatuan merupakan antara keperluan paling membebankan kerana perlu diganti hampir setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nor Raslah turut membangkitkan isu yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk yuran komputer dan program sekolah yang didakwa tidak diselaraskan dengan jelas dan berubah setiap tahun.
Sementara itu, seorang suri rumah, Jamilah Kerni, 51, berkata, banyak keluarga yang terbeban dan terpaksa berjimat cermat bagi memenuhi keperluan sekolah anak-anak.
“Anggaran perbelanjaan sekitar RM500 bagi seorang anak masih boleh ditanggung, namun situasi itu amat mencabar bagi keluarga yang mempunyai anak ramai,” katanya.
Dalam pada itu, seorang guru, Azmi Mohd. Nor, 52, berkata, walaupun sebahagian harga barangan kekal, kos pakaian seragam dan kasut masih memberi kesan besar kepada perbelanjaan ibu bapa.
Katanya, anggaran RM300 hingga RM500 bagi seorang anak tetap memberi tekanan kepada keluarga yang tidak mempunyai simpanan khusus untuk persekolahan.
“Saya bersyukur kerana saya ada buat simpanan dalam kumpulan wang pelepas untuk jamin perbelanjaan anak-anak saya. Oleh sebab itu, perbelanjaan anak-anak ini bukanlah satu beban atau tekanan bagi saya,” katanya.
Seorang penolong pegawai teknologi maklumat, Ainul Fadhilah Ibrahim, 46, pula berkata, keperluan persekolahan anak-anak kini semakin pelbagai.
“Perbelanjaan bagi seorang anak boleh mencecah antara RM500 hingga RM1,000 terutama jika anak-anak terlibat dalam sesi pagi dan petang.
“Tabungan awal adalah langkah penting bagi mengelakkan tekanan kewangan, namun tidak semua keluarga mampu berbuat demikian. Saya buat tabungan awal untuk elak rasa tekanan pada keluarga,” katanya.
Selain itu, seorang pekebun, Sampar Anak Kalachi, 55, berkata, ibu bapa perlu bijak dalam menguruskan kewangan serta perlu berjimat cermat.
“Saya mengambil keputusan sebagai bapa yang berjimat cermat untuk membeli barang persekolahan secara berperingkat dan sedikit demi sedikit.
“Saya membeli barang persekolahan anak semasa jualan murah hujung tahun. Namun, barang tersebut juga mesti yang berkualiti dan berpatutan untuk pastikan keselesaan anak saya,” katanya. – UTUSAN










