KUALA TERENGGANU: Kenderaan berat tidak dibenar menggunakan Jambatan Angkat di sini, susulan penguatkuasaan palang penghadang berketinggian 3.5 meter mulai 1 Januari ini.
Langkah itu bagi mengawal pergerakan kenderaan melebihi had muatan dibenarkan selaras Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Seksyen 86(3) yang melarang kenderaan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) atau Berat Tanpa Muatan (BTM) maksimum lima tan dan ke atas merentasi jambatan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ti Properties Sdn. Bhd., Awasi Mohamad berkata, penguatkuasaan tersebut turut bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi integriti struktur Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang merupakan infrastruktur penting dan ikonik negeri.
“Bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa peka terhadap peraturan ditetapkan, papan tanda amaran had muatan serta papan kenyataan berkaitan akta dan undang-undang sudah dipasang di jalan-jalan utama menuju ke jambatan terbabit.
“Selain itu, amaran had ketinggian turut dipaparkan menerusi papan skrin LED di jambatan berkenaan sebagai peringatan berterusan kepada semua pemandu dan pengguna laluan berkenaan,” katanya di sini.
Awasi memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan berat seperti lori dan treler menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan.
“Laluan alternatif seperti Jalan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir sedia ada boleh digunakan selain merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya. – UTUSAN










