Sejak bahan promosi awal diperkenalkan, filem Duyung Lagenda Aurora menjadi tumpuan perbualan hangat dalam kalangan peminat filem tempatan.
Namun, keterujaan yang sepatutnya menyambut kemunculan sekuel kepada naskhah ikonik itu bertukar menjadi kekecewaan apabila poster, teaser serta elemen visual yang dipertontonkan menerima kritikan hebat di media sosial.
Ramai peminat meluahkan rasa hampa kerana merasakan hasil yang ditampilkan tidak selari dengan kenangan dan jangkaan mereka terhadap filem asal yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu.
Kritikan bukan sahaja tertumpu kepada aspek kostum dan visual duyung, malah turut melibatkan persoalan kualiti teknikal, nilai produksi serta hala tuju kreatif yang dilihat seolah-olah tidak mencerminkan statusnya sebagai sebuah sekuel besar.
Situasi ini sekali gus mencetuskan perdebatan hangat apabila kecaman mula tertumpu kepada barisan pelakon, meskipun hakikatnya banyak keputusan penting terletak di bahu pihak produksi dan kreatif.
Berikutan itu, Pancaindera mendapatkan Saiful Apek untuk menggali pandangannya sebagai pelakon filem berkenaan.
Sejak awal promosi, filem ini menerima banyak maklum balas negatif. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Terus terang saya katakan, memang agak tidak adil apabila semua kecaman itu tertumpu kepada pelakon. Hakikatnya, pelakon tidak menghasilkan poster, tidak mereka bentuk kostum dan tidak menentukan strategi promosi. Namun kami yang berada di barisan hadapan, jadi kami yang menerima tempias paling awal.
Adakah Saiful sendiri terkesan dengan kritikan tersebut?
Ya, sangat terkesan. Saya bukan sahaja dihentam di ruangan komen, malah melalui mesej peribadi. Ramai bertanya dan seolah-olah menyalahkan saya sepenuhnya. Saya rasa itu tidak adil, tetapi saya faham, peminat bercakap kerana mereka sayang dan mempunyai jangkaan yang tinggi.
Mengapa jangkaan terhadap filem ini begitu tinggi?
Kerana ini adalah sekuel. Kalau ini filem baharu, mungkin orang lebih berlapang dada. Tetapi Duyung adalah filem yang membesar bersama penonton. Mereka menonton sejak kecil, jadi apabila sekuel muncul, secara automatik harapan mereka juga meningkat.
Dari sudut teknikal pula, apakah pandangan anda sebagai antara pelakon utama filem ini?
Sebagai sekuel, sepatutnya ada peningkatan yang jelas. Dari segi teknikal, visual, kostum dan keseluruhan persembahan, ia perlu lebih upgrade, lebih relevan dengan zaman sekarang. Banyak perkara teknikal sebenarnya boleh dielakkan atau diperbaiki dengan kos minimum jika dirancang dengan teliti.
Ada yang mengatakan isu kostum demi keselamatan dan keselesaan pelakon. Saiful setuju?
Saya faham soal keselamatan dan keselesaan, itu sangat penting. Tetapi kita bercakap tentang filem duyung. Seluruh dunia menghasilkan cerita duyung dengan pelbagai pendekatan. Kalau mereka boleh cari penyelesaian, kenapa kita tidak? Jika kekangan bajet terlalu besar, bagi saya lebih baik tidak diteruskan daripada menghasilkan sesuatu yang tidak memenuhi jangkaan. Pendek kata, kalau tiada bajet dari awal, lebih baik tidak payah buat.
Bagaimana perasaan anda apabila orang dalam industri sendiri mula bersuara secara negatif?
Itu yang paling merisaukan saya. Apabila kru teknikal, DOP dan juga pelakon sendiri memberi bayangan ketidakpuasan hati, walaupun tidak secara langsung, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Kebenaran memang menyakitkan, tetapi ia lebih baik daripada penipuan yang menyenangkan. Saya bukan mahu menjatuhkan sesiapa. Saya juga sebahagian daripada filem ini. Tetapi sebagai pelakon, saya membawa harapan penonton. Saya tidak boleh mempertahankan sesuatu yang saya sendiri rasa boleh diperbaiki. Ini bukan soal emosi, ini soal tanggungjawab.
Apakah yang Saiful harapkan daripada penonton?
Saya harap penonton menilai dengan adil selepas menonton keseluruhan filem. Setiap orang berhak ada perspektif masing-masing. Kritikan itu perlu, tetapi biarlah ia membina. Semua pihak dalam produksi ada peranan masing-masing, dan akhirnya kita semua mahukan industri filem tempatan terus berkembang dengan baik.










