KUALA LUMPUR: Pembanterasan sindiket dan kartel berskala besar menjadi sasaran utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan pada tahun hadapan.
Pengarahnya, Mohd. Sabri Seman berkata, penguatkuasaan lebih agresif akan ditumpukan terhadap sindiket dan kartel besar, khususnya yang terbabit dalam ketirisan barang kawalan termasuk minyak dan barangan keperluan.
Katanya, sasaran utama melibatkan sindiket dan kartel besar kini berada dalam radar siasatan dan menunggu masa yang sesuai untuk tindakan penguatkuasaan diambil.
“Beberapa kes kini masih dalam siasatan. Bagi Kuala Lumpur, siasatan dan pemantauan terhadap kegiatan sindiket melibatkan ketirisan barang kawalan akan diberi keutamaan,” katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Program Pelupusan Mega Ekshibit KPDN Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Sabri berkata, secara umum, lokasi kegiatan sindiket dikenal pasti sentiasa berubah-ubah.
Jelas beliau, lazimnya sindiket ini akan menyasarkan kawasan terpencil seperti tepi sungai, semak-samun serta kawasan tersorok, termasuk kawasan perindustrian sebagai lokasi melakukan aktiviti penyeludupan.
“Justeru, pasukan penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur akan terus menjalankan operasi di seluruh kawasan di ibu negara,” jelasnya.
Mohd. Sabri turut memberi amaran keras kepada peniaga dan pengguna agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
Beliau turut merayu kerjasama orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Maklumat ini diperlukan bagi bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya. – UTUSAN










