Kanak-kanak perempuan maut kereta dipandu datuk terbabas - Utusan Malaysia

Kanak-kanak perempuan maut kereta dipandu datuk terbabas

KEADAAN kereta yang terbalik menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dalam kejadian di Manjoi di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta yang dipandu datuknya terbabas sebelum terbalik di Jalan Baginda, Manjoi di sini hari ini.

Nahas pada pukul 8.40 malam itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback, Jamil Sumawan, 69, dan cucunya Az Dian Raisya Qistina Mohamad Hafisrudin, 4, cedera.

Az Dian Raisya bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.05 malam ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan datuknya dalam perjalanan dari Meru untuk pulang ke rumah.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu warga emas itu hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

*Akibat dari kemalangan itu, kedua-dua mangsa cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital tersebut.

“Kemalangan itu turut menyebabkan kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan cermin besar depan pecah manakala bahagian sisi kiri kereta kemek dan calar,” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN