LENGGONG: Pembangunan prasarana termasuk pemasangan lampu solar dan kerja-kerja penyelenggaraan landskap di Pulau Temelong, Kampung Temelong di sini, berjaya mengubah wajah kawasan rekreasi itu menjadi lebih ceria dan menarik.
Projek tersebut dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat Madani oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang memilih Pulau Temelong sebagai kampung angkat dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin berkata, Kampung Temelong dipilih sebagai Kampung Angkat Madani kerana keunikan dan potensi besar Pulau Temelong untuk dibangunkan sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan baharu di Lenggong.
Katanya, keindahan alam semula jadi kawasan berkenaan memberi kelebihan kepada usaha pembangunan berasaskan rekreasi dan aktiviti air.
“Naik taraf infrastruktur telah dilaksanakan di kawasan ini bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengunjung merangkumi pembinaan pelantar, jeti, jalan, gabion, kemudahan tandas, tapak perkhemahan, dewan dan surau terbuka.
“Selain itu, pemasangan lampu solar turut dijalankan diikuti penyediaan papan tanda baharu dan penyelenggaraan landskap untuk menjadikan kawasan ini lebih teratur, menarik dan mesra pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong di Pulau Temelong di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, potensi Pulau Temelong sebagai pusat rekreasi amat luas kerana ia bukan hanya menawarkan tapak perkhemahan tetapi juga aktiviti sukan air seperti berakit, berkayak dan memancing.
Katanya, pelbagai aktiviti dan pengisian akan dirangka JBSN negeri bersama penduduk setempat dalam usaha menarik golongan muda datang ke Pulau Temelong untuk menikmati keindahan alam semulajadi.
“Selama lebih satu dekad beroperasi, kawasan rekreasi ini hanya menawarkan kemudahan asas di mana tiada lampu solar selain dewan, tapak khemah dan jeti peninjau yang perlu dinaik taraf.
“Apabila datang ke sini, kita melihat potensi besar kawasan ini untuk dimajukan sekali gus dapat membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat tambahan lagi konsep glamping dan penerokaan alam semulajadi kian diminati ramai terutama golongan muda,” katanya. – UTUSAN










