Kalau berlakon HBO bolehlah ‘demand’ harga tinggi - Rashidi Ishak - Utusan Malaysia

Kalau berlakon HBO bolehlah ‘demand’ harga tinggi – Rashidi Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Rashidi Ishak, meminta segelintir pelakon mempertimbangkan semula kadar bayaran yang dikenakan untuk berlakon dalam produksi tempatan.

Jelas Rashidi, 52, tidak munasabah untuk seorang pelakon meminta bayaran yang akan menelan belanja 20 peratus daripada bajet keseluruhan produksi.

“Pelakon-pelakon yang nak minta harga tinggi-tinggi untuk drama tempatan ini, boleh tak semak dulu harga penerbitan pasaran? Janganlah perasan sangat.

“Kalau stesen TV itu HBO ke, Cinemax ke, bolehlah demand harga tinggi,” kongsinya menerusi Threads.

Tambah Rashidi, hampir semua tenaga kerja dalam industri sudah maklum akan kadar sebenar yang diterima penerbit bagi setiap projek daripada pihak stesen televisyen.

“Hampir semua pekerja dalam industri kita tahu berapa kadar yang diberikan kepada penerbit tempatan untuk setiap projek.

“Telefilem menerima bajet sekitar RM100,000 hingga RM120,000, manakala satu episod drama sejam pula sekitar RM45,000 hingga RM50,000.

“Tetapi jika seorang artis menuntut 20 peratus daripada keseluruhan kos projek tanpa memikirkan pekerja-pekerja lain yang terlibat, saya rasa itu sangat tidak bertimbang rasa,” ujarnya lagi.

Kongsi Rashidi lagi, pihak produksi juga tersepit dalam dilema apabila kos penggambaran juga meningkat setiap tahun.

“Belum lagi mengambil kira kenaikan kos langsung dan tidak langsung yang semakin meningkat saban tahun. Mujurlah harga minyak kini lebih murah,” tambahnya ketika membalas salah satu komen di media sosial.

Perkongsian tersebut turut menerima reaksi daripada penggiat seni tanah air yang berpendapat mungkin syarikat pengurusan artis itu yang tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Kadangkala pihak pengurusan yang tidak tahu bajet untuk satu episod. Bila terserempak dengan artis di mana-mana acara, mereka pun tidak tahu yang pengurusan mereka letak harga tinggi,” tulis satu komen.

“Tak logik kalau produski tetap nak ambil pelakon mahal ini sebab untuk letak harga tinggi adalah hak mereka. Pihak produksi juga ada hak untuk pilih terima atau tolak ikut kemampuan yang ada. Kalau ambil juga maksudnya bukan salah pelakon.

“Kalau pihak stesen mahu juga, mereka kena tambah kos tanpa bebankan pihak produksi,” kongsi pelakon, Beto Kusyairy. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN