Kajian ilmiah seni silat sumbang kepada pembangunan negara

Kajian ilmiah seni silat sumbang kepada pembangunan negara

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan bergambar bersama pimpinan dan ahli PSSCM pada Majlis Malam Gemilang ‘Sirih Pulang ke Gagang’ bersempena Sambutan Jubli Intan Silat Cekak di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Aktiviti kajian ilmiah dan penyelidikan budaya seni silat bukan sahaja mendokumentasi sejarah dan adat, tetapi membuka ruang kepada penemuan baharu yang memperkayakan ilmu bangsa.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, adab dan adat dalam seni silat merupakan kaedah pembelajaran tidak langsung yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Titah baginda yang juga Timbalan Penaung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), ilmu yang lahir daripada kajian dan penyelidikan yang tepat dapat melahirkan rakyat berfikiran kritis dan berakhlak mulia yang menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

“Inisiatif pembangunan berasaskan ilmu dalam aspek penyelidikan budaya oleh PSSCM wajar dijadikan contoh. PSSCM di usia 60 tahun berjaya melahirkan ramai cendiakawan dalam membudaya aktiviti kajian dan penyelidikan,” titah baginda pada Majlis Malam Gemilang ‘Sirih Pulang ke Gagang’ sempena Sambutan Jubli Intan Silat Cekak di sini, malam tadi.

Baginda bertitah, PSSCM turut menyumbang kepada Pusat Aktiviti Kajian dan Penyelidikan budaya melalui pameran jangka panjang di Galeri Silat Muzium Negeri Kedah.

Sementara itu, Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, pemilihan Kedah sebagai lokasi sambutan adalah sebagai penghargaan kepada asal usul dan warisan persilatan yang bermula di negeri ini, sebelum ianya berkembang ke seluruh negara.

“Silat ini berasal dari Kedah, jadi negeri ini akar dan tapak sejarah bermulanya silat. Kita mahu pastikan kesucian, keaslian dan kesinambungan silat cekak ini terpelihara dan institusi raja berperanan sebagai simbol penyatuan dan perlindungan kepada ilmu seni silat ini.

“Malah kita juga mahu kenalkan silat ini kepada orang luar kerana ia salah satu cara untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian. Sekarang, Silat Cekak berjaya dikembangkan di Sydney, Australia dan mungkin selepas ini ke tempat lain,” katanya.

Maideen berkata, penganjuran Jubli Intan 60 Tahun Silat Cekak juga menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan seni warisan Melayu kepada generasi muda serta pelancong dari seluruh negara yang datang ke Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN