Kahwin untuk berteman, ada kawan bicara di hari tua - Erra Fazira - Utusan Malaysia

Kahwin untuk berteman, ada kawan bicara di hari tua – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira, untuk membuat keputusan kembali bergelar isteri selepas 11 tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

Namun, fitrah manusia yang inginkan teman hidup mendorong Erra atau, Fazira Wan Chek, 51, membuka lembaran baharu bersama usahawan, Ezwan Zain, 44 atau Mr. E.

“Kalau nak tunggu yakin, mungkin akan datang banyak bisikan yang menakutkan, tambahan pula saya sudah selesa hidup sendirian.

“Mr. E pun sudah hidup solo selama lapan tahun. Masing-masing sudah rasa selesa. Tapi akhirnya, fitrah manusia pada usia begini mahu berteman. Jadi biarlah kami buat cara yang betul dan diredai.

“Kami bukan dalam situasi terdesak mencari pasangan, tetapi lebih kepada memikirkan jangka masa panjang untuk berteman dan ada kawan bicara di hari tua,” katanya.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cinta Abadi 2025 yang berlangsung di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur, petang Selasa.

Mengulas mengenai proses lamaran, Erra memaklumkan bahawa sebuah majlis tertutup melibatkan kedua-dua keluarga telah diadakan sekitar enam minggu lalu bagi acara merisik.

“Keluarga kami sudah bertemu enam minggu lalu untuk menghantar cincin tanda.

“Sebelum itu, kami berbincang terlebih dahulu dan apabila semuanya sudah yakin dan pasti, barulah kami mempertemukan keluarga masing-masing.

“Saya berharap perkahwinan kali ini yang terbaik, terindah dan menjadi penutupnya,” ujar beliau.

Terdahulu, Erra mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 12 Disember ini. Majlis resepsi pula akan diadakan dua kali, iaitu pada 13 Disember untuk keluarga dan 27 Disember untuk rakan terdekat di Kuala Lumpur.

Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Engku Emran, pada 25 Oktober 2007 namun berpisah pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.

Sebelum itu, Erra turut pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah pada 2006. Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN