MELAKA: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menggesa lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam seni budaya memanfaatkan peruntukan geran berjumlah RM20 juta sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, permohonan geran sokongan sektor kebudayaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh dibuat menerusi laman sesawang MOTAC bermula Januari depan.
Menurutnya, geran itu diwujudkan bagi menyokong penganjuran pelbagai aktiviti seni budaya termasuk seni pementasan, tari, teater dan muzik, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada penggiat seni mengembangkan kreativiti masing-masing.
“NGO dari seluruh negara boleh memohon sehingga RM300,000. Namun kelulusan tertakluk kepada penilaian Jawatankuasa Penilaian MOTAC dan ada yang mungkin menerima antara RM80,000 hingga RM100,000 bergantung kepada keperluan program.
“Saya menyeru lebih banyak NGO seni budaya segera memohon kerana geran ini bertujuan menyemarakkan program seni sempena TMM2026. JKKN negeri pula akan membantu memudahcara permohonan,” katanya selepas menyaksikan pementasan teater Persidangan Hantu, Permainan Akhir di Panggung Seni Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh semalam. Turut hadir Pengarah JKKN
Melaka, Ezlina Alias dan Pengerusi Persatuan Penggerak Anak Seni Melaka, Bustaman Mat.
Dalam pada itu, Mohd. Amran berkata pementasan teater arahan Raja Azrey itu mendapat sambutan menggalakkan di 15 lokasi seluruh negara.
Teater karya penulis prolifik JKKN Melaka, Mohd. Isa Maarof itu disifatkan sebagai naskhah bermutu yang menyampaikan mesej berguna melalui humor dan sindiran sosial.
Diperkuatkan dengan barisan pelakon dan pelawak popular seperti Man Rajalawak, Ieda Moin, Ucop Cecupak, Along Eyzendy dan Evie Razwan, pementasan ini berjaya menarik perhatian serta menghiburkan penonton. – UTUSAN










