KUALA LUMPUR: Kawasan Kampung Baru perlu diberi nafas baharu melalui usaha penjenamaan semula bertujuan mengikis persepsi masyarakat yang sering mengaitkannya dengan isu pembangunan Sungai Baru.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, masalah yang berlaku di Sungai Baru tidak mempunyai kaitan dengan keseluruha penduduk di kampung itu.
Menurutnya, perancangan pembangunan yang tidak teratur telah menimbulkan salah faham terhadap komuniti Melayu di kawasan berkenaan.
“Sebenarnya, penduduk Sungai Baru teraniaya oleh kerana perancangan yang tidak betul, ‘cap ayam’ yang menyebabkan kita semua terkesan. Seolah-olah orang kampung ini tamak, tidak bersyukur dan sebagainya.
“Kita hendak jaga Kampung Baru ini, bawa pelancong datang dan tengok keindahan sejarah Melayu yang ada di sini yang berusia 125 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Citrawarna Kampung Baru di ibu negara hari ini.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kampung yang terletak di tengah-tengah ibu negara itu perlu dipelihara sebagai khazanah warisan Melayu yang unik di tengah ibu negara dan berpotensi besar dibangunkan sebagai destinasi pelancongan budaya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan isu Sungai Baru, beliau berkata, projek kerja pecah tanah bagi projek pembangunan semula kawasan itu telah dilaksanakan.
“Saya harap dengan program pecah tanah yang telah dilakukan baru-baru ini, pemaju yang akan membina balik rumah-rumah ini dapat menyiapkannya pada waktu yang dijanjikan.
“Jadi saya difahamkan, ia (pembangunan) akan bermula pada bulan Mac seperti apa yang telah dimaklumkan,” katanya. – UTUSAN










