KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli menyelar tindakan seorang individu yang dengan menuduh isterinya yang juga pelakon, Uqasha Senrose sebelum ini mengandungkan anak lelaki lain.
Kamal, menerusi satu hantaran dalam platform Threads, menyifatkan komen tersebut sebagai keterlaluan.
“Ini sangat melampau, terlalu melampau untuk manusia normal dan sebagai Muslim. Itu anak kandung saya,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial mengundang kemarahan ramai pihak apabila bertindak keterlaluan dengan membuat telahan demikian.
“Entah-entah, anak orang lain yang dia kandung. Tapi Kamal tutup maruahnya dengan bagi statement apa pun,” tulis netizen berkenaan.
Kamal dalam masa yang sama menasihatkan kepada netizen agar tidak keterlaluan dalam berkongsi pandangan.
“Tolong manusia, kalau tak ada apa baik nak tulis, tolong jangan sampai tahap ini,” ujarnya. – UTUSAN










