IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memberikan insentif khas sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada pengamal media tempatan sebagai tanda penghargaan kepada mereka dalam menyebarkan inisiatif dan dasar-dasar kerajaan negeri kepada rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peranan media menjadi semakin penting dalam menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 menerusi kisah-kisah kejayaan dalam akhbar dan saluran televisyen.
“Hakikatnya, banyak perkara yang kita lakukan tidak akan sampai ke pengetahuan rakyat tanpa kerja keras para wartawan, jurugambar, editor, penulis portal, penyiar, dan seluruh ekosistem media yang bekerja siang malam, kadang tanpa cuti, kadang dalam tekanan masa yang sangat hebat.
“Malah ada yang terpaksa bergelumang dengan bencana berhari-hari lamanya,” katanya dalam ucapannya sempena Malam Media Perak Sejahtera 2025 di Galasa Caldwell di sini malam tadi.
Katanya lagi, media menjadi sebahagian daripada ekosistem yang membantu pentadbiran supaya lebih matang dan baik.
“Banyak inisiatif kerajaan negeri menyentuh denyut nadi kehidupan seharian rakyat.
“Jika ia tidak disampaikan dengan bahasa yang jelas dan dekat dengan realiti masyarakat, segala usaha yang dicurahkan itu mungkin tidak dapat untuk difahami dan tidak dapat dihayati,” katanya. – UTUSAN










